Followers

Saturday, August 6, 2016

CKET : BAB 10



RIHAN menarik nafas lega. Dia baru sahaja selesai berbual dengan Nenek Fleury. Mujurlah Nenek Fleury tidak tahu perihal yang berlaku semalam. Mujurlah dia sudah berpesan kepada Zea agar tidak melaporkan perkara tersebut kepada Nenek Fleury. Yang lebih penting, Nenek Fleury sudah menyatakan persetujuan untuk membenarkan dia tinggal lama di Malaysia.
Nampaknya pengaruh Hazriq memang kuat. Apa sahaja yang Hazriq cakap dengan nenek, cepat saja nenek setuju, getus hati kecil Rihan. Bukannya dia tidak pernah usulkan kepada Nenek Fleury tentang hajatnya yang mahu tinggal lama di Malaysia.
Asalnya Rihan tekad untuk tinggal lama kerana dia mahu menyiasat tentang identiti adik dan papanya. Perbualan Maurice dan Nicholas yang membuatkan Rihan jadi begitu, tapi Nenek Fleury tidak mahu membenarkan dia tinggal lama di Malayia. Sebab itu dia batalkan niatnya. Tapi, bila Nenek Fleury dah benarkan dia tinggal lama di Malaysia, dia akan ambil kesempatan ini untuk menyiasat hal itu.
Kenapa perlu mama nak jumpa seseorang itu sebelum mama pergi? Siapa orang itu? Dan apa maksud Pak Cik Nicholas yang kedua-duanya anak mama? Apakah mungkin Farahana Farisya masih hidup? Mama nak jumpa Farahana ke? Tapi, mama sendiri yang kata Farahana dan mati!
Mungkinkah ada sesuatu yang berlaku antara mama dan papa hingga hal jadi seperti itu? Banyak persoalan yang bermain di fikirannya. Banyak sangat misteri hinggakan dia tidak tahu mahu mula menyiasat dari mana.
Rihan pantas mengeluarkan komputer ribanya. Dia mahu menghantar e-mel kepada temannya. Malah, dia memang menantikan balasan e-mel daripada Rossa. Dia mahu tahu perkembangan siasatan Rossa.
Baru sahaja dia mahu memeriksa e-melnya, e-mel daripada Rossa lebih awal diterima. Rossa telah menghantar sekeping gambar. Gambar ibunya bersama seorang lelaki Melayu.
Rihan memerhatikan ikon biru Facebook miliknya. Dia mencari-cari nama Rossa. Simbol yang menandakan Rossa sedang melayari Facebook bertukar hijau. Rihan tersenyum gembira. Dia terus menegur sahabatnya itu.

Farihana Farisya: Bonjour, ma chérie (Helo, sayang). - Facebook chat


Tiada balasan. Rihan mengeluh. Baru sahaja dia menyapa, simbol di Facebook Rossa bertukar mobile. Rihan mengalah. Mungkin kawannya itu sibuk. Kerjaya Rossa sebagai seorang penyiasat terkenal di Paris membuatkan kawannya itu sentiasa sibuk.

Rossa de Adrianna: Bonjour, ma chérie. Comment ça va? (Helo, sayang. Apa khabar?) - Facebook chat

Senyuman terukir pada wajah Rihan tatkala membaca balasan mesej itu.

Farihana Farisya: Sihat. Kau? Hei, aku baru baca e-mel yang kau hantar.
Rossa de Adrienna: Sihat saja. Cuba teka aku di mana? Kau dah tengok gambar tu? Apa pendapat kau?
Farihana Farisya: Kau atas katil depan lappy? Nenek benarkan aku tinggal lama di Malaysia. Jadi, aku nak ambil peluang ni untuk siasat.
Rossa de Adrienna: Helo, tak menariklah atas katil depan lappy tu. Aku sekarang di London.
Serius ke kau nak siasat sebab aku tak rasa kau akan berjaya. Pasti banyak halangannya.
Eh, apa mimpi nenek benarkan kau tinggal lama di sana? Nenek dan Malaysia bukan sahabat karib!
Farihana Farisya: Apa dia? Di London? Buat apa di sana?
Terpaksa. Aku betul-betul nak tahu kenapa mama rahsiakan perkara ni daripada aku dan aku nak siasat betul-betul siapa lelaki dalam gambar tu. Aku nak tahu apa yang mereka rahsiakan daripada aku. Kau tolong aku? Boleh, kan? Tolong aku carikan maklumat pasal lelaki tu?
Ermm, aku terpaksa berterima kasih dengan Hazriq. Sebab dia, nenek benarkan aku duduk lama di Malaysia.
Rossa de Adrienna: Aku sedang bercuti dengan Robert. Robert bawa aku berjalan-jalan di London. Aku rasa dia akan melamar aku malam ni. Berdebarnya.
Okey, aku akan cuba carikan maklumat untuk kau. Aku harap apa yang kita buat ni berhasil.
Wah, Hazriq tolong? Menarik ni. Kau dah berkenalan baik-baik dengan dia?
Farihana Farisya: Biar betul? Tahniah aku ucapkan. Aku harap Robert betul-betul akan melamar kau. Kalau jadi, aku orang yang paling gembira. Bukannya aku tak tahu kau memang minatkan dia sedari kita kolej, kan? Tambah pula kalian bekerja bawah satu bumbung. Bayangkan Mr. and Mrs. Smith aje. Semoga berjaya, ma chérie.
Kami masih dalam proses berkenalan, dear. Aku masih belum boleh terima dia.
Rossa de Adrienna: Terima kasih, ma chérie. Doakan aku yang terbaik.
Farihana Farisya: Kenapa kau bagi aku gambar orkestra mama?
Rossa de Adrienna: Cuba kau perhatikan gambar tu betul-betul. Ada siapa dalam gambar tu?

Rihan mengerutkan dahinya. Gambar yang Rossa bagi dibesarkan menerusi aplikasi zoom. Wajah lelaki di sebelah mamanya ditilik. Dia terus mencari gambar yang dia pernah hantar kepada Rossa sebelum ini. Gambar mama dengan orkestranya. Dia dapat gambar itu pun masa dia curi-curi masuk dalam bilik bacaan mamanya. Dia tidak berani lama di bilik itu. Kalau kantoi dengan mamanya, mahu kena marah tujuh hari, tujuh malam.

Farihana Farisya: Lelaki yang sama!
Rossa de Adrienna: Mungkin. Aku rasa gambar ni diambil pada hari yang sama dengan gambar kau bagi kat aku tempoh hari. Kau jangan risau, nanti aku update lagi kalau dapat sebarang maklumat.
Farihana Farisya: Terima kasih, ma chérie.
Rossa de Arienna: Jangan risau. Dah dah. Jangan asyik fikirkan hal papa kau.
Okeylah. Aku kena pergi. Aku nak bersiap-siap untuk makan malam nanti. Will miss you like crazy!
Jangan jual mahal sangat, dear. Jangan terlalu fikirkan Haiqarl. Lupakan yang lepas, cuba kenali Hazriq. Let bygones be bygones.

Belum sempat Rihan membalas mesej terakhir Rossa, gadis itu sudah pun keluar daripada ruangan berbual itu. Simbol Facebook sudah bertukar kelabu menandakan Rossa tidak lagi berada di atas talian.
Rihan menilik gambar yang Rossa beri. Gambar mamanya bersama seorang lelaki Melayu itu diamati. Hidung dan matanya ada mirip dengan lelaki itu. Ini papanyakah? Dia tidak pernah melihat gambar papanya. Maurice tidak pernah menunjukkan gambar papanya.
Kata mama, papanya sudah tiada. Sebab itu mereka sekeluarga berpindah ke Paris. Mereka tiada pilihan, mereka tiada tempat bergantung di Malaysia.
Sedang asyik menilik, matanya jatuh pada seutas rantai yang dipakai mamanya. Terus sahaja dia teringatkan pak ciknya.

Rihan menarik nafas dalam. Itu kali pertama dia akan berjauhan dengan keluarganya sejauh itu. Keluarganya berpakat untuk menghantar Rihan. Awal pagi lagi mereka sudah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Charles de Gaulle, Paris.
Ma chérie.” Nicholas bergerak merapati Rihan.
Rihan pantas mengalihkan pandangannya.
Nah.Nicholas mengeluarkan seutas rantai berbentuk hati dari poket bajunya lalu menyerahkannya kepada Rihan.
Rihan mengerutkan dahinya. “Untuk apa ni pak cik?”
Sebagai pelindung kamu di sana nanti. Malaysia negara yang aman, tapi negara itu juga asing untuk kamu walaupun kamu lahir di sana.” Nicholas menyuarakan kebimbangannya.
Pak cik jangan risaulah. Rihan tahu jaga diri.”
Kamu mungkin akan ada identiti lain di sana. Kamu mungkin akan mengenali seseorang yang buat kamu rasa macam kamu ditakdirkan di sana, tapi kamu kena ingat keluarga asal kamu. Keluarga kandung kamu. Semuanya berada di sini.”
Pak cik cakap macamlah saya ni takkan pulang lagi ke Paris ni.” Rihan memuncungkan mulutnya.
Pak cik cuma cakap saja, Rihan. Semuanya terpulang dengan kamu. Nanti sampai sana selalu call ke sini,” pesan Nicholas kepada Rihan.

RIHAN memegang rantai berbentuk hati itu erat. Ada rahsiakah pada rantai itu yang dia sendiri tidak tahu?
Apa yang cuba Pak Cik Nicholas sampaikan kepada aku yang aku tak dapat tangkap?” monolog Rihan.
Apa maksud Pak Cik Nicholas yang kata aku ada identiti lain? Cara pak cik cakap macam ada seseorang yang rupanya mirip dengan aku. Orang yang mirip dengan aku cuma Farahana. Pak cik macam tahu sesuatu! Eh, kejap. Perempuan yang namanya Christie yang aku jumpa dekat supermarket tadi pun kata muka aku mirip kawan dia? Mungkin ke adik aku masih hidup?

CKET : BAB 9




ARA menemani Nek Mah membeli bahan mentah untuk dimasak tengah hari itu. Dia hanya membuntuti Nek Mah. Itu kali pertama dia pergi membeli barangan dapur. Selama ini, Mak Jah yang selalu ke pasar raya. Dia? Sibuk dengan kolej dan kelab orkestra hingga langsung tidak ambil peduli akan semua itu.
Ara tak suka makan udang?” soal Nek Mah.
Sengaja dia menyoal gadis itu. Semalam Ara cuma menyentuh sedikit sahaja sambal udang petai buatannya. Sentuh pun sekadar mengambil sambalnya sahaja.
Nek Mah terasa ke Ara makan sikit aje semalam?” soal Ara.
Bukannya dia tidak mahu, dia akui dia turut terliur, namun masakan dia dapat menjamah dengan banyak sekiranya dia ada alahan terhadap makanan itu.
Sebenarnya, Ara tak minat sangat makan makanan laut.” Ara cuba berdalih.
Oh, patutlah. Kenapa tak beritahu Nek Mah semalam? Mesti Ara lapar sepanjang malam tadi. Aqif pun satu. Bukan nak beritahu Nek Mah. Kalau Nek Mah tahu, Nek Mah masak lauk lain.”
Tak apalah, Nek Mah. Lagipun, semalam Ara kenyang. Tak lalu nak makan pun,” dalih Ara.
Tipulah kalau dia kata tidak lapar, tapi harus juga dia menipu. Tak sanggup rasanya mahu membebankan Nek Mah. Sudahlah hadirnya di rumah itu pun secara tiba-tiba. Ara sekadar tersenyum. Tangannya ligat menggaru lengannya. Terasa gatal. Malam tadi dia kegatalan yang amat.
Ara memandang sekeliling. Dia mahu mencari ubat alergi di farmasi. Ara tersenyum lebar saat terpandangkan kedai farmasi Cosway yang berada tidak jauh dari situ.
Ara makan ikan tak?” soal Nek Mah. Khuatir pula kalau Ara tidak boleh makan.
Boleh aje, Nek Mah,” ujar Ara. Dia tidak mahu memeningkan kepala Nek Mah.
Oh, nasib baik makan ikan.” Nek Mah tersenyum. “Bukannya apa, budak zaman sekarang ni tak suka makan ikan. Lagi suka makan ayam. Tu yang Nek Mah tanya, nanti tak pasal-pasal berlapar lagi.”
Jangan risau, Nek Mah. Ara makan aje ikan.”
Baguslah. Lagipun, kat sini ayam tak dapat sambutan sangat. Kat sini makanan laut aje yang banyak,” sambung Nek Mah lagi.
Nek Mah memeriksa barangan yang dibelinya satu per satu. Nek Mah tersenyum puas. “Okeylah, semua barang dah cukup. Mari kita balik.”
Baik, Nek Mah. Tapi, Nek Mah, kita singgah farmasi dulu boleh?” Ara meminta izin. Dia sudah tidak tahan lagi dengan kegatalannya itu.
Nek Mah mengangguk tanda setuju. Dia terus menuju ke farmasi bersama Ara, namun langkahnya terhenti. Dia terpandangkan kedai runcit yang terletak bersebelahan dengan farmasi itu.
Nek Mah ke kedai runcit sekejap. Nak cari botol sos. Boleh buat ikan masak merah nanti.” Nek Mah baru teringat bahawa sos cili di terataknya sudah pun habis.
Ara tersenyum kecil. Dia terus meninggalkan Nek Mah di kedai runcit itu. Baru sahaja dia berpaling, dia terlihatkan seseorang. Lelaki itu kelihatan segak memakai T-shirt Polo hitam dan berseluar jean biru. Dia cuba amati jejaka itu. Aiman!
Ara jadi tidak keruan. Aiman kelihatan sibuk dengan telefon pintarnya, Ara cepat-cepat masuk ke dalam kedai runcit itu. Dia cepat-cepat bersembunyi tatkala Aiman bergerak ke arahnya. Ara jadi panik. Dia terus capai surat khabar di sebelahnya lalu melindungi wajahnya. Macam mana Aiman boleh sampai sini? Dia ada letak tracking device ke dekat aku?
Kenapa Ara?” soal Nek Mah. “Ara nak beli surat khabar ni ke?”
Taklah. Jom kita balik sekarang,” ajak Ara seraya melangkah laju.
Niatnya mahu ke farmasi dibatalkan. Dia tidak mahu Aiman perasan kehadirannya di situ.

AIMAN berhenti melangkah. Wangian Enchanteur yang menyinggah derianya mirip Ara. Dia pantas menoleh. Kelihatan seorang lelaki berbaju biru dan berseluar jean melangkah jauh daripadanya. Aiman pantas menggeleng. Kenapa dari belakang, lelaki itu macam Ara? Mustahil itu Ara!
Bos, kami dah cuba cari Cik Ara dan lelaki tu, tapi tak berjaya,” ujar Black saat panggilannya bersambung.
Bodoh. Buat kerja macam ni pun tak boleh?” herdik Aiman.
Dia tidak mempedulikan orang sekeliling. Dia benar-benar marah dengan Black. Kerana orang suruhannya yang tidak tahu buat kerja, dia terpaksa pulang semula ke Malaysia. Paling teruk, kehilangan Ara sudah sampai ke telinga Datuk Muhammad Daniel. Dia sendiri tak menyangka akan ada yang membantu Ara melarikan diri. Kalau tak ada yang bantu, mustahil Ara boleh terlepas!
Bos, kami akan cuba lagi bos,” rayu Black. Dia hampir-hampir saja menangkap Ara, alih-alih gadis itu terlepas lagi.
Cuba! Cuba! Aku tak mahu cuba. Aku nak hasil. Aku bagi kau masa sampai hujung minggu ni. Kalau tak ada hasilnya, kau tahulah apa yang akan aku buat!” ugut Aiman seraya mematikan telefon bimbitnya.
Aiman mendengus kasar. Apalah yang susah sangat nak menangkap Farahana Farisya itu? Gadis itu bukannya kuat. Itu pun kemain susah nak ditangkap.
Bunyi deringan telefon pintarnya membuatkan dia pantas mendengus kasar. Nama si pemanggil membuatkan senyuman di bibirnya mula memekar.
Bro, kau dekat mana?” soal Zach, kawan Aiman. “Kita orang dah lama tunggu ni.”
Aku ada hal kejap. Nanti aku datang,” balas Aiman.

SETIBANYA di rumah, Nek Mah terus sahaja memberi salam. Mendengarkan salamnya tidak berbalas, Nek Mah melepaskan keluhan kecil. Ke mana sajalah cucunya yang seorang itu? Asyik menghilang sahaja.
Ara, duduklah dulu. Nek Mah nak ke dapur. Nak bersihkan ikan-ikan ni semua,” ujar Nek Mah.
Nek Mah menanggalkan seliparnya lalu menginjak naik ke atas rumah.
Ara pula leka memerhatikan keadaan sekeliling rumah. Semalam, dia sampai pun dah malam. Tak sempat nak melihat sekeliling. Keluar pula tergesa-gesa tadi. Sekaranglah peluangnya untuk melihat sekeliling.
Rumah Nek Mah tak ada bezanya dengan rumah kampung yang lain. Ada anak tangga batu dan di sisi tangga ada tertanamnya pokok bunga kertas, cuma rumah Nek Mah berdekatan dengan sawah.
Ara duduk di tepi tangga. Rasa tenang pula. Hilang segala bebanan dalam otak. Malah, kedudukan rumah yang terletak tidak jauh dari sawah buatkan dirinya bertambah tenang. Mana tidaknya, selama ini dia dibesarkan di bandar. Pertama kali dia menjejakkan kaki di kawasan kampung seperti ini. Terlupa seketika debar terserempak dengan Aiman sebentar tadi.
Sedang asyik melihat, Ara ternampak kelibat Aqif di pangkin. Jejaka itu kelihatan leka melakar sesuatu di atas buku lakaran. Ara mendekati Aqif perlahan-lahan. Dia mengintai senyap-senyap. Aqif sedang melukis seorang perempuan. Cantik perempuan itu. Persis seorang puteri dan wajah gadis itu ada iras wajahnya.
Siapa ni? Intan?” soal Ara ingin tahu.
Semalam, Nek Mah ada cerita kepadanya tentang Intan. Kata Nek Mah, Aqif pernah bertunang dengan seorang gadis bernama Intan. Gadis itu telah meninggal dunia kerana penyakit jantung berlubang di mana pembedahan pun tak dapat selamatkan gadis itu.
Aqif tersentak. Dia pantas menutup buku lakarannya.
Siapa yang kau lukis? Cantik. Macam puteri,” puji Ara.
Kau tak tahu apa-apa kau senyap. Kita ni pun bukannya kenal sangat sampai buatkan kau tu layak nak tanya. Kau tu datang dari mana entah, lepas tu sibuk nak tahu hal aku. Apa hal?” marah Aqif. Dia pantas menyarungkan selipar ke kaki lalu bergerak naik ke rumah.
Ara terpaku seketika. Terasa air mata bergenang di kelopak mata. Salahkah dia bertanya? Perlukah marah sehingga begitu sekali?
Aku tanya aje pun,” ujar Ara, perlahan.
Ara melabuhkan punggungnya di pangkin itu. Dia masih terasa dengan kata-kata Aqif. Ikutkan hati, dia mahu lari dari rumah itu. Tapi, kalau dia lari, ke mana lagi yang dia boleh pergi? Ara melemparkan pandangannya jauh ke tengah sawah. Sekadar merenung kosong. Memikirkan ke mana hala tuju hidupnya selepas ini.
Panggilan daripada Nek Mah membantutkan lamunannya. Ara segera menyahut. Selipar pantas disarungkan di kaki. Baru mahu melangkah, dia berundur kembali. Ara ternampak sebuah kotak kayu. Dia pantas menggapai kotak itu.
Kotak itu dibuka. Kelihatan satu patung kecil sedang menari di dalamnya. Kotak muzik milik siapa entah itu membuatkan Ara cepat-cepat menyimpannya. Dia suka kotak muzik itu. Lagu Blue Danube itu adalah lagu kegemarannya. Tanpa keizinan tuannya, terus sahaja Ara membawanya masuk ke dalam bilik.

AIMAN terus sahaja menuju ke meja yang terletak di hujung kedai. Di situ, Zach sudah menunggu.
So, apa hal kau nak jumpa aku sampai ke sini?” soal Aiman pelik.
Dia baru sahaja tiba di Malaysia, terus dapat panggilan daripada Zach untuk berjumpa. Kalau bukan mengenangkan Zach kawan rapatnya, memang tidaklah dia mahu pergi.
Relaks dulu, bro. Kau baru sampai kut. Ke kau ada hal nak buat? Kalau ada hal, tak apalah. Aku tak nak halang,” soal Zach. Risau pula.
Tak ada hal pun. Hal aku, aku dah serahkan dekat Black. Aku tak puas hati betul. Macam mana mereka boleh hilangkan Ara tu!”
Pandailah budak-budak tu cari si Ara tu. Ara tu perempuan. Lambat-laun jumpa juga. Kau jangan risau.” Zach berfikiran positif.
Hopefully. So, kau ada apa hal nak jumpa aku?” Aiman menyoal Zach semula. Matanya tajam memerhatikan Zach.
Aku ada problem sikit. Polis asyik buat serbuan dekat port yang selalu kita buat akiviti berlumba. Dah banyak hari ada serbuan. Aku pulak hari itu kalah dan aku pergi taruhkan duit hasil jualan dadah bos untuk race tu. Sekarang, bos kejar aku sebab aku guna duit tu. Kalau dah asyik kena serbu, macam mana aku nak dapatkan balik duit untuk bayar?” luah Zach.
La, sebab itu aje ke? Aku ingatkan sebab apalah tadi.”
Boleh tolong aku? Aku tahu kau aje yang boleh tolong aku. Aku tak tahu nak minta tolong siapa dah,” balas Zach.
Salahnya juga kerana berani bertaruh jumlah yang besar. Dia sendiri tidak menyangka dia akan kalah berlumba hari itu. Habis semua wang hasil jualan dadah milik bosnya digunakan untuk bertaruh. Hasilnya, dia diburu.
Okey, tak ada masalah. Nanti aku tolong kau, tapi aku tak boleh bagi sekali gus. Aku kena buat sikit-sikit. Nanti kalau aku buat sekali, orang tua tu perasan pulak,” ujar Aiman.
Walaupun dia sudah mendapat kepercayaan daripada Datuk Muhammad Daniel. Dia masih tetap tidak berani. Pasti pak ciknya akan bertanya banyak hal kalau dia tertangkap. Sebab itu dia perlu berkahwin dengan Ara. Hanya dengan cara itu dia dapat mengawal kesemua harta Datuk Muhammad Daniel.
Okey, tak ada masalah. Terima kasih Man sebab tolong aku.”
Hal kecil.” Aiman terus melihat makanan yang menghampiri mejanya. Melihatkan makanan laut itu, dia terus meneguk liurnya. Bau masakan itu membuatkan dia tidak sabar-sabar mahu menikmatinya.
Hi, dear. Sorry lambat.”
Kehadiran seorang gadis membuatkan Aiman tersentak. Aiman segera menoleh.
It’s okay, Sofea. Kita pun baru nak mula makan ni.” Zach sekadar tersenyum. Dia menjemput wanita itu duduk di sebelahnya.
Aiman memandang Zach, pelik. Dia sepertinya pernah jumpa dengan gadis itu.
Yang ni kawan aku, Sofea.” Zach terus memperkenalkan wanita itu kepada Aiman.
Aiman sekadar mengangguk kecil. Sofea! Ya, dia kenal gadis itu. Dia tak menyangka pula dia akan dapat berkenalan dengan gadis itu. Gadis itu merupakan adik kepada musuhnya. Musuh yang dikenali di Kenchana Holdings. Kerana lelaki itu, dia nyaris-nyaris dimalukan.
Dia kenal Sofea kerana dia pernah ternampak gadis itu keluar bersama-sama dengan musuhnya itu. Dan dia akan pastikan Sofea jatuh ke tangannya.


CKET : BAB 8


RIHAN singgah di pasar raya untuk membeli buah tangan. Sebentar lagi dia akan melawat Hazriq di hospital. Hazriq masih belum sedarkan diri lagi. Malam tadi Datin Nor berkeras mahu menjaga permata tunggalnya itu. Terpaksa dia beralah walaupun dia berasa bertanggungjawab untuk menjaga pemuda itu. Pemuda itu cedera kerananya!
Hai, Ara. You buat apa dekat sini?” tegur seorang gadis berambut perang. Gadis itu tersenyum manis memandang Rihan
Rihan mengerutkan dahinya. “Do I know you?”
Hey. Its me, Christie. We were in the same orchestra, remember?” ujar Christie.
I’m sorry. I think you’re mistaken. I’m Rihan.” Rihan memperkenalkan dirinya.
Christie mengetap bibirnya. “I am truly sorry. I thought you were my friend because you look like her.”
Rihan tersenyum kecil. It’s okay. Please excuse me.”
Gadis bernama Christie itu terpinga-pinga. Dia tak sangka akan berjumpa dengan orang yang seiras dengan Ara, kawan satu kolejnya.
Rihan terpanar seketika. Muka aku seperti seseorang? Tapi, siapa? Rihan melepaskan keluhan kecil. Dia malas mahu berfikir lantas meneruskan aktiviti membeli-belahnya.
Dia terus ke bahagian yang menempatkan buah-buahan. Tiba saja di sana, tangannya terus saja mencapai sebungkus strawberi dan coklat. Strawberi coklat! Sedap. Makanan kegemarannya. Dia mahu Hazriq rasa makanan kegemarannya itu.

DATIN NOR sedang menyuap Hazriq bubur saat Rihan masuk ke dalam wad Hazriq. Senyuman serta-merta terukir di bibir Rihan. Hatinya mengucap rasa syukur kerana Hazriq sudah sedarkan diri.
Morning aunty.” Rihan terus menghampiri katil Hazriq. Dia pantas bersalaman dengan Datin Nor.
Matanya sempat mengerling melihat Hazriq. Kepala jejaka itu siap dibalut dengan bandage. Begitu juga dengan tangan kanan Hazriq.
Morning aunty aje?” Hazriq menarik muka masam. Dia terasa kehadirannya di situ langsung tidak Rihan peduli.
Yalah. Habis tu?” Rihan mengerutkan dahinya.
Habis tu?” Hazriq mengulang kembali soalan Rihan. “Am I not a human to you?”
Dush! Rihan mengetap bibirnya. Dia terpukul dengan soalan Hazriq. Dia memang mahu menegur Hazriq, tapi bila melihat Hazriq, dia kehilangan kata-kata. Aura Hazriq buatkan dia tak dapat kawal degupan jantung sendiri.
Hai, Hazriq. Morning.” Tersekat-sekat lidahnya untuk berkata-kata. Matanya langsung tidak memandang Hazriq. Pandangan Hazriq terlalu tajam untuk dia tatap.
Aunty, Rihan ada beli strawberi dan coklat.” Rihan terus mengubah topik perbualan. Buah strawberi dan coklat yang dibawanya diletakkan di meja kecil di sisi katil.
Strawberi dan coklat? Untuk siapa?” soal Hazriq. Matanya masih tidak lekang memerhatikan Rihan.
Dia suka melihat Rihan kalut. Bila Rihan kalut, Rihan akan jadi tidak tentu arah. Dan itu, dia rasa comel!
Untuk aunty.” Laju Rihan membalas. Aduh. Kenapa pula Hazriq ni banyak soal?
Datin Nor mengerutkan dahinya. “Untuk aunty?”
Miss Rihan, in case you’ve forgotten... Yang sakit tu adalah saya, bukannya mama saya. Kenapa awak kena bawak buah tangan untuk mama saya?” usik Hazriq.
Rihan mengetap bibirnya lagi. Niatnya untuk jaga Hazriq, tapi kalau macam ini gayanya, macam mana dia mahu menjaga Hazriq? Dengar suara Hazriq pun dah buat jantungnya berdegup macam berlari di larian padang 500 meter.
Awak dah okey?” soal Rihan, perlahan.
Dia tidak duduk sebaliknya berdiri sahaja di sisi Hazriq. Dia tahu selagi dia tidak bertanya khabar jejaka itu, selagi itu Hazriq akan mengenakannya.
Hazriq mengukir senyuman. Kelihatan lesung pipitnya di pipi.
Rihan, duduklah. Jangan asyik berdiri sahaja.” Datin Nor pula yang risau. Sedari tadi dia diam memerhatikan Hazriq dan Rihan.
Bila Hazriq sedar, aunty?” soal Rihan.
Dia enggan berbual lama dengan Hazriq. Tangannya pantas mencapai kerusi kosong di sebelah Datin Nor. Setelah itu dia duduk tidak jauh dari katil Hazriq.
Ehem! Hazriq berdeham.
Rihan mengalihkan pandangan ke arah Hazriq. “Kenapa? Awak nak air?”
Hazriq menggeleng laju. “Awak sedar tak awak sedang bertanya perihal saya?”
Rihan pantas mengangguk.
Jadi, kenapa tak tanya saya terus? Kenapa kena tanya mama saya?” tegur Hazriq. Matanya tajam memerhatikan Hazriq.
Rihan mencebik. Ikutkan hati, ringan tangannya mahu mencubit Hazriq, tapi ditahan juga. Tak padan dengan sakit!
Hazriq hanya diam memerhatikan Rihan. Senyuman masih tidak lekang dari wajahnya. Bilalah Rihan sudi mengenalinya?
Lepas subuh tadi. Aunty sengaja tak nak bagi tahu Rihan. Aunty tak nak Rihan tergesa-gesa datang. Nanti lain pula yang jadi,” balas Datin Nor. Jelas riak risau pada wajahnya.
Rihan mengetap bibirnya.
Oh, ya. Dah pukul 10.00 ni. Mama minta diri dulu, ya? Mama ada appointment dengan klien mama.” Datin Nor cepat-cepat meletakkan mangkuk bubur yang dipegangnya.
Mujur ada Rihan. Rihan jaga Hazriq sekejap ya. Nanti dalam pukul 1.00 tengah hari, aunty datang semula,” pesan Datin Nor.
Hari itu Datin Nor terpaksa hadir dalam satu janji temu dengan pelanggannya. Dia juga mahu memberi peluang kepada Hazriq dan Rihan untuk berbual.
Rihan mengangguk. “Take care, aunty.”
Mama pergi dulu, dear.” Datin Nor tersenyum. Dia mencium dahi anaknya sebelum mencapai tas tangan miliknya.
Aunty pergi dulu,” ujar Datin Nor kepada Rihan. Dia tersenyum seraya beredar dari wad anaknya itu.
Hazriq sekadar tersenyum saat melihat ibunya meninggalkannya. Datin Nor memang sangat mementingkan kerjaya. Sebagai seorang pereka fesyen ibunya sentiasa sibuk. Malah, ibunya bertambah sibuk bila papanya meninggal dunia tahun lepas. Sebab itu dia yang terpaksa menghadiri mesyuarat lembaga pengarah bagi pihak wanita itu.
Ermm, Encik Hazriq nak apa-apa tak?” Rihan cuba berbual. Takkan dia mahu membiarkan bilik itu sunyi tanpa suara?
So, awak macam mana Cik Rihan? Okey?” soal Hazriq. Sekali lagi matanya jatuh kepada Rihan.
Zup! Rihan sekali lagi terpanar. Pandangan Hazriq memang membuatkan jantungnya berdegup tak tentu hala.
Cik Rihan, saya sedang bercakap dengan awak sekarang ni.” Hazriq tegakkan badannya.
Secara tak langsung kedudukan mukanya dengan muka Rihan menjadi rapat. Kedudukan Rihan yang tidak jauh dari katilnya membuatkan dia senang berbuat demikian.
Rihan terkedu. Matanya dikelipkan beberapa kali. Dia cuba menyingkirkan momen itu daripada mindanya, namun gagal. Dia bagaikan tidak percaya dia berada sedekat itu dengan Hazriq. Deruan nafas Hazriq dirasakan hampir dengan mukanya.
Kenapa awak datang? Berlawan macam tu? Awak tahu tak awak boleh terbunuh?” Rihan terus bangun daripada duduknya lalu menuju ke tingkap wad. Langsir diselak.
Dia rimas berada di dalam bilik tertutup seperti itu. Mujurlah wad itu wad persendirian.
Zea call saya. Dia kata awak dalam bahaya. Tanpa berfikir panjang, saya terus datang ke tempat tu. Saya pesan kepada Zea untuk hubungi polis, tapi pihak polis datang lambat. Saya kena lakukan sesuatu sebelum mereka cederakan awak, Rihan,” terang Hazriq membelek-belek tangan kanannya yang berbalut.
Hatinya sayu melihat tangannya itu. Kerana tangannya itu penting untuk melukis memandangkan dia seorang arkitek.
Awak, saya betul-betul tak sengaja. Saya minta maaf.” Rihan masih memohon maaf. Dia terus bergerak menghampiri katil Hazriq, memberanikan diri memandang jejaka itu.
Kenapa awak kena minta maaf dengan saya?” soal Hazriq pelik. “Sudah jadi tanggungjawab saya untuk melindungi awak.”
Rihan mengetap bibirnya. “Hazriq, saya rasa bersalah sangat. Sebab saya, awak terlantar macam ni.”
Hazriq senyum kecil. “Awak kenal mereka? Kenapa mereka kejar awak?”
Entahlah. Tiba-tiba aje mereka serang kami.” Rihan ketap bibir.
Tak sampai sehari ada di Malaysia, dah kena serang. Patutlah mama tak bagi aku balik ke Malaysia!
Selagi saya ada, walaupun saya tak pandai berlawan, saya akan lindungi awak, Rihan.” Itu janji Hazriq.
Rihan serba salah. Dia nak sangat beritahu jejaka di hadapannya itu bahawa dia tak nak teruskan pertunangannya dengan Hazriq. Nak sangat beritahu Hazriq yang dia sukakan orang lain, tapi bila Hazriq sanggup korbankan nyawanya sendiri untuk selamatkan Rihan, Rihan rasa takut untuk lukai hati Hazriq.
Awak kata awak bawa strawberi dan coklat itu untuk saya. Tak nak buatkan untuk saya?” Hazriq cuba mengalihkan topik perbualan. Kalau dia tak alih topik, sesi meminta maaf takkan tamat.
Bawa untuk awak? Saya bawa untuk aunty.” Rihan betulkan semula ayat Hazriq. Tak naklah nampak ketara sangat.
Jadi, saya kena tunggu mama balik baru dapat makan strawberi coklat? Sedihnya. Dahlah lapar.” Hazriq pegang perutnya.
Rihan melepaskan keluhan kecil. Kalau dia tidak pedulikan Hazriq, dia akan rasa bersalah. Lelaki itu sudah hampir kehilangan nyawanya untuk selamatkan dirinya. “Wad ni ada air panas?”
Hazriq meliarkan pandangannya. Sebuah heater menarik perhatiannya. “Tu.
Rihan berpaling ke arah yang Hazriq tunjuk. Terus dia ke arah heater tersebut.
Hazriq hanya memandang sahaja perlakuan Rihan. Bibirnya mengukir senyuman. Dia terasa bahagia bila Rihan sudi menjaganya.
Rihan terus mencairkan coklat tersebut. Setelah coklat itu cair, terus dia mencelupkan strawberi yang telah siap dicuci. Setelah itu dia letakkan ke dalam piring lalu diserahkan kepada Hazriq.
Awak tak nak suap saya ke?” soal Hazriq.
Kenapa? Awak, kita ni baru bertunang. Bukan suami isteri. Tak manis untuk saya suap awak. Malah, dengan duduk berdua macam ni pun dah dikira tidak manis,” ujar Rihan.
Nampaknya awak acknowledged kita ni sudah bertunang. Saya sangat gembira dengar.” Hatinya berbunga riang. Hazriq tersenyum kecil. Dia kagum sebenarnya dengan Rihan.
Rihan mengetap bibirnya. Aduh! Macam mana pula boleh acknowledged ni?
Terima kasih sebab sudi buatkan saya ni,” ucap Hazriq. Dia mencapai piring yang berisi strawberi coklat itu. Terkial-kial dia cuba makan memandangkan tangan kanannya kemas berbalut.
Rihan melepaskan keluhan kecil. Dia terlupa pula tangan Hazriq cedera. “Sini. Saya suapkan.
Hazriq senyum kecil. Faham juga Rihan akhirnya. Dia bukannya sengaja menyuruh Rihan menyuap, cuma tangannya tidak mengizinkannya. “Terima kasih.
Rihan mengembungkan pipinya. Rasa seperti mereka sudah berkahwin pula. Seperti seorang isteri menjaga suaminya yang sakit. Eh, kenapa aku fikir sampai ke situ? Rihan cepat-cepat membuang angannya. Dia tidak patut suka kepada lelaki ini.
Awak betul-betul nak saya maafkan awak?” soal Hazriq, tiba-tiba. Walhal dia yang sibuk tukar topik perbualan tadi. Dia mengukir senyuman.
Rihan mengangguk laju. Dia sanggup lakukan apa sahaja demi menebus kesilapannya. Piring yang mengandungi strawberi coklat diletakkan di tepi.
Teman saya boleh?” soal Hazriq.
Rihan mengerutkan dahinya. “Ke mana?”
Nak ikut saya berjalan sekitar sini?” Hazriq tidak menjawab soalan sebaliknya menyoal Rihan.
Ikutkan hati Rihan memanglah mahu. Teringin juga melawat tanah kelahirannya itu. Bukan selalu dia dapat peluang untuk pulang ke Malaysia, tapi...
Saya harus pulang ke Paris. Nenek pasti marah kalau saya kata saya mahu tinggal di sini lagi.” Rihan menyuarakan kebimbangannya.
Oh, hal tu awak jangan risau. Tahulah saya nak uruskan. Awak cuma jawab soalan saya. Mahu ataupun tidak?”
Tapi, macam mana nak pergi dengan keadaan awak macam ni?” soal Rihan.
Tangan saya ni kalau dah diurut, sembuhlah.” Hazriq berfikiran positif.
Kepala awak?” Rihan risau melihat balutan di kepala Hazriq.
Awak malu kalau keluar dengan orang yang sakit? Yang berbalut sini sana?” soal Hazriq.
Bukan tu maksud saya. Maksud saya, nanti awak yang segan bila perhatian orang semua dekat awak. Bukan saya.”
Jangan risau. Saya okey. Saya dah biasa dijadikan tumpuan. Saya kan kacak.” Sempat lagi Hazriq memuji dirinya.
Rihan mencebik. Sempat lagi perasan. “Bila awak discharge?”
Tengah hari ni.
Rihan mengangguk faham seraya tersenyum. Patutlah Datin Nor kata dia akan kembali semula tengah hari nanti. “Teman saya buat laporan boleh?”
Hazriq tersenyum tanda setuju. Wajah Rihan tidak setegang sebelum ini. Dia suka melihat senyuman Rihan. “Saya lapar. Suapkan bubur untuk saya, boleh?”
Rihan akur. Mangkuk berisi bubur di meja sisi diambil. Rihan mengambil tempat di sisi katil Hazriq. Tadi, senang untuk dia suapkan Hazriq strawberi coklat, tapi kalau melibatkan bubur, dia terpaksa dekat dengan Hazriq kerana takut akan mengotorkan baju Hazriq.
Hazriq tersenyum, diam menahan perasaannya. Berada sedekat itu dengan Rihan sedikit sebanyak membuatkan jantung berdegup tidak tentu arah. Hati, kamu please jangan nakal!

CKET : BAB 7



KERETA Myvi miliknya terus diparkirkan di halaman rumah. Dua jam perjalanan pulang ke kampung membuatkan badannya keletihan. Jam pada dashboard sudah menunjukkan jam 9.00 malam. Dia segera mematikan enjin keretanya. Sesudah enjin dimatikan, terus sahaja Aqif keluar dari kereta.
Baru sahaja mahu turun dari kereta, telinganya menangkap dengkuran halus. Aqif cuba mencari arah bunyi itu datang dan alangkah terperanjatnya dia saat terpandangkan seseorang sedang bersandar di belakang tempat duduk pemandu.
Aqif terus sahaja membuka pintu belakang tanpa menghiraukan gadis itu. Tergolek keluar Ara dari kereta.
Kau siapa? Macam mana kau boleh ada dalam kereta aku?” Terus Aqif menyoal. Tidak terdetik pun untuk membantu Ara bangun.
Saya...” Ara cepat-cepat bangun.
Aqif memandang Ara dari bawah ke atas berulang kali. Otaknya ligat memikirkan kehadiran Ara yang tiba-tiba. Macam mana gadis yang berpakaian lelaki itu boleh ada di dalam keretanya? Bila masa gadis itu masuk ke keretanya? Macam mana dia tak perasan gadis itu masuk ke dalam keretanya?
Apa kau nak daripada aku?” soal Aqif. “Kau nak mencuri ya?”
Dia benar-benar mencurigai Ara. Perwatakan Ara kelihatan seperti gadis yang lari dari rumah. Dengan rambut pendek dan bertopi. Sama ada gadis di hadapannya ini lari dari rumah atau budak-budak terbiar.
Tak. Tak. Saya tak ada niat nak mencuri pun. Saya... saya...” Ara cuba memberi penjelasan.
Mungkin kalau dia meminta tolong daripada lelaki di hadapannya itu, dia akan dihantar ke alamat yang Azlin berikan.
Saya nak ke alamat ni...” Ara meraba-raba poket seluarnya.
Riak mukanya berubah bila telefon pintarnya tidak ada di dalam poket. Ara menanggalkan beg galasnya. Semua baju di dalam beg dikeluarkan. Dia cuba mencari telefon pintarnya di dalam beg. Dia kaget. Telefonnya tidak berjaya dijumpai.
Bunyi engsel pintu kayu dibuka menarik perhatian mereka. Pandangan mereka beralih kepada kelibat seorang wanita tua. Wanita tua itu tersenyum kepada mereka.
Aqif, lewatnya kamu sampai?” Nek Mah segera menghampiri mereka. “Cepat masuk. Nenek dah masakkan makanan kegemaran kamu.”
Aqif segera mendapatkan Nek Mah. Tangan wanita tua itu disambut lalu pantas disalami Nek Mah.
Yang tu siapa pula?” soal Nek Mah saat terlihatkan Ara yang masih berdiri di sebelah kereta Aqif. “Tu kekasih kamu ke, Aqif?”
Aqif memandang Ara dengan pandangan pelik. Perempuan selekeh ni kekasih aku? Bila masa?
Ara tersenyum pahit. Dia pantas memasukkan semula baju-baju miliknya ke dalam beg galas.
Apa lagi yang kamu buat dekat bawah tu? Mari masuk rumah,” ajak Nek Mah. Pelik melihat Aqif tidak mahu menjemput teman wanitanya naik.
Tapi, nek...” Tak sempat Aqif nak menjawab.
Maaf, tapi aku tumpang rumah kau dua tiga hari ni.” Selamba Ara melangkah masuk ke dalam teratak kecil itu.
Dia terpaksa. Kalau dia tidak tinggal di situ, dia nak tinggal di mana? Telefon pintarnya pula sudah hilang. Macam mana dia mahu ke alamat yang Azlin berikan tadi?
Aqif mengerutkan dahinya. Eh, selamba betul minah ni!
Ara terus melangkah menaiki tangga teratak itu. Tangan Nek Mah ditarik untuk bersalam. Dia ingat lagi pesanan mak longnya, kena hormat dengan orang yang lebih tua.
Aqif melepaskan keluhan kasar. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku ketika itu. Walaupun begitu, dia tidak membantah. Dia terus naik ke rumah.
Nenek tak marah kalau kamu nak bawak teman wanita kamu ke rumah nenek. Kamu tu nenek dah anggap macam cucu kandung nenek. Mungkin dah tiba masanya kamu lupakan dia,” bisik Nek Mah saat Aqif menyalami tangannya.
Aqif terdiam mendengar kata-kata Nek Mah.
Nama kamu siapa, cu?” soal Nek Mah kepada Ara.
Ara.” Ara hanya memerhati lelaki bernama Aqif itu. Dia tahu lelaki itu sangat berang dengannya.

LAMPU bilik kecemasan masih belum padam. Secara tidak langsung memberi gambaran pembedahan masih belum berakhir. Rihan menggigil di luar bilik itu. Dia terlalu bimbang dengan keadaan Hazriq. Lelaki itu baru dikenali tak sampai satu hari, namun lelaki itu sudah terlantar di dalam bilik pembedahan demi menyelamatkannya.
Mana Hazriq?” soal seorang wanita lewat 40-an. Wanita itu kelihatan elegan mengenakan kelawar bermanik di leher.
Datin Nor.” Zea pantas menghampiri wanita itu.
Zea, apa yang jadi kepada Hazriq? Macam mana boleh jadi macam ni?” Bertubi-tubi soalan Datin Nor kepada Zea.
Aunty, saya minta maaf. Ni semua salah saya. Sebab saya, Hazriq...” Rihan terus meminta maaf. Dia langsung memandang ke tanah, tidak berani untuk bertentang mata dengan ibu Hazriq.
Datin Nor berpaling menghadap Rihan.
Rihan?” Datin Nor meminta kepastian.
Rihan menaikkan pandangannya.
Datin Nor tergamam bagaikan tidak percaya. Dia sama sekali tidak percaya bakal menantunya, Rihan, berada di hadapan matanya saat ini. Setahunya Rihan berada di Paris. Nenek Fleury juga tidak memberitahunya apa-apa.
Sebab nak selamatkan saya, Hazriq kena pukul sampai macam tu sekali. Saya minta maaf sangat-sangat, aunty.” Air mata Rihan mengalir laju.
Shhh...” Datin Nor cuba menghentikan tangisan Rihan.
Salah saya,” esak Rihan.
Rihan, apa yang berlaku ada hikmahnya. Aunty tak marah pun. Memang dah tertulis yang Hazriq akan selamatkan Rihan. Aunty tak boleh halang.” Datin Nor berfikiran positif. Tubuh kecil Rihan ditarik ke dalam pelukannya.
Semuanya salah saya!” Tangisan Rihan masih belum surut.
Rihan, listen to me.” Datin Nor memandang tepat ke mata gadis itu. “Everything happened for a reason. So, it’s not your fault. Okay?
Rihan diam tidak berkutik. Dalam fikirannya cuma mahu Hazriq selamat. Kalau apa-apa terjadi kepada Hazriq, dia tidak dapat memaafkan dirinya. Wanita itu sepatutnya menyerangnya kerana menyebabkan anak tunggalnya cedera, bukan menenangkannya. Dia benar-benar rasa bersalah.
Lampu bilik pembedahan terpadam. Seorang doktor keluar dari bilik tersebut. Datin Nor segera mendapatkan doktor tersebut.
Doktor, macam mana dengan anak saya?” soal Datin Nor.
Encik Hazriq mengalami pendarahan di bahagian kepala dan tangan kanannya cedera, tapi Datin jangan risau. Anak Datin sudah melepasi tahap kritikal.”
Alhamdulillah.” Datin Nor mengucapkan syukur.
Rihan menarik nafas lega.
Sebentar lagi kami akan pindahkan anak Datin ke wad,” ujar doktor tersebut seraya meninggalkan Datin Nor, Zea dan Rihan.
Mereka bertiga menadah tangan, berdoa sebagai tanda berterima kasih.
Rihan terduduk di kerusi hospital. Hatinya benar-benar lega dengan berita itu. Syukurlah, Hazriq selamat.





CKET : BAB 6




MEREKA bergerak seiringan menuju ke dalam KLCC. Jam masih awal. Rihan mahu mencuci mata dahulu sebelum kembali ke biliknya. Sedang asyik berbual di jalan, mereka didekati oleh tiga orang lelaki botak. Langkah Rihan dan Zea terhenti. Mereka saling berpandangan.
Kamu semua siapa?” soal Zea. Dia tidak kenal dengan lelaki-lelaki botak itu. “Nak apa?”
Rihan sekadar diam. Dia tidak tahu apa yang sedang berlaku.
Ketiga-tiga lelaki botak itu tersenyum. Perlahan-lahan, mereka berjalan mendekati Rihan dan Zea.
Jangan dekat. Kalau tak, aku jerit.” Zea mengugut. Dia menarik Rihan untuk beredar dari situ. Namun, belum sempat melangkah, dua daripada lelaki botak itu menangkap Rihan.
Rihan!” Zea cuba mendapatkan Rihan, namun tindakannya terbantut. Salah seorang daripada mereka terus menarik rambut Zea, menjauhi Rihan.
Zea cuba menendang lelaki itu, sebaliknya Zea yang ditendang. Dia terduduk di tepi keretanya.
Zea!” Rihan meronta minta dilepaskan. Dia mahu selamatkan Zea.
Lelaki botak itu terus menekup mulut Rihan lalu menariknya menuju ke suatu tempat. Rihan meronta minta dilepaskan. Ash menarik Rihan ke satu lorong yang tidak jauh dari situ. Tubuh Rihan ditolak kasar ke dinding.
Sakitlah!” aduh Rihan.
Punyalah susah aku nak cari kau. Kau boleh hilang macam tu aje?” soal Black seraya mendekati Rihan. Rambut Rihan ditarik kasar.
Rihan semakin takut. Matanya memerhatikan saja lelaki itu. Ada tiga orang semuanya. Kesemuanya botak. Seorang ada misai. Seorang tiada dan lelaki yang berada di hadapannya pula ada parut di pipinya. Lelaki berparut itulah yang telah menendang Zea tadi.
Kau nak apa daripada aku?” Rihan memberanikan dirinya bertanya. Dia tidak kenal siapa mereka.
Kau hutang nyawa dengan aku! Kalau kau tak lari malam tu, aku tak payah nak cemarkan duli aku untuk tangkap kau, tahu tak!” kata Black seraya menguatkan lagi tarikan rambut Rihan.
Rihan tersentak dilakukan seperti itu.
Sakitlah!” aduh Rihan lagi. Sakit bila rambutnya ditarik seperti itu.
Rihan cuba meronta, namun gagal. Kedua-dua pergelangan tangannya dipegang kemas oleh Ash dan Burn. “Kau siapa? Aku tak kenal kaulah!”
Siapa aku, kau tak perlu tahu. Apa yang aku tahu, kau dah buat Tuan Aiman marah kepada aku. Jadi, sebagai balasannya, ikut aku balik untuk tebus balik semuanya!” Lelaki berparut di muka itu terus mengeluarkan tali dan tape dari poket seluar mereka.
Tape hitam itu ditarik untuk menutup mulut Rihan. Mereka tidak mahu Rihan menjerit.
Hei.”
Pandangan Black dan konco-konconya teralih pada suara itu. Masing-masing pelik melihat kehadiran jejaka itu.
Masalah apa pulak kali ni?” gumam Black. Matanya tajam memandang Hazriq.
Ash, Burn, kau jaga perempuan ni,” arah Black.
Tubuh Rihan ditolak kasar ke arah Ash dan Burn. Black pantas membuka langkah, berdiri berhadapan dengan Hazriq.
Rihan terdiam tidak berbicara. Kehadiran Hazriq di hadapannya mengundang seribu persoalan. Dia cuba meronta, namun Ash dan Burn memegang lengannya kejap. Rihan mahu menegah Hazriq daripada terlibat. Dia takut jika Hazriq dibelasah dengan teruk. Dia tidak mahu menyusahkan Hazriq. Anak ahli lembaga pengarah syarikat neneknya itu tidak patut terlibat dengan mereka.
Ya Allah, Kau selamatkanlah pemuda ni. Rihan risau Black akan mencederakan Hazriq. Kalau Zea, seorang perempuan pun lelaki berparut itu sanggup tendang, inikan pula Hazriq, seorang lelaki. Pasti lebih teruk nanti.
Hazriq terundur beberapa langkah tatkala Black bergerak menghampirinya. Dia jadi kaku. Dia langsung tidak tahu bagaimana mahu melawan lelaki botak di hadapannya. Yang dia tahu, dia cuma mahu menyelamatkan Rihan. Dia baru sahaja mahu bergerak pulang ke rumah saat Zea menghubunginya sebentar tadi.
Kau jangan cuba nak halang aku. Siapa yang berani nak halang aku, aku akan bunuh dia!” Black memberi amaran.
Hazriq tersenyum sinis. Dia sengaja mahu melengahkan masa. Sebelum ke situ, dia sudah pun menghubungi pihak polis.
Black rasa tercabar dengan senyuman sinis Hazriq. Dia terus bertindak meluru ke arah Hazriq lalu memberikan sebuah tumbukan padu tepat pada perut Hazriq. Hazriq terduduk menahan sakit. Darah tersembur keluar dari mulutnya.
Hazriq!” Rihan terus menjerit nama Hazriq.
Hazriq menyapu darah yang mengalir di bibirnya. Matanya tajam memerhatikan Black.
Black enggan mengalah. Sekali lagi dia meluru ke arah Hazriq. Dia benar-benar geram dengan Hazriq.
Stop it, Hazriq!” tegah Rihan.
Hazriq enggan mendengar kata-kata Rihan. Dia menguatkan dirinya untuk bangun daripada duduknya. Dia akan pastikan dia melindungi Rihan. Itu janjinya! Namun, belum sempat dia bangun, dia terduduk sekali lagi. Black memukul kepalanya. Hazriq hilang imbangan. Dia jatuh terjelepok ke tanah.
Hazriq!” jerit Rihan.
Huh. Hero lembik!” Black duduk separa mencangkung di hadapan Hazriq. “Tak pandai berlawan, tapi ada hati nak berlawan dengan aku!”
Deru nafas Hazriq kedengaran kasar. Dia cuba bangun, namun gagal. Lututnya terlalu lemah untuk berdiri. Hazriq melarikan pandangan ke sekeliling. Pandangannya tertancap pada sebatang kayu yang berada berhampiran. Dia cuba menggapainya, namun Black lebih pantas. Black terus memijak tangan kanannya. Hazriq menjerit kuat.
Black kegeraman. Dia terus menarik kolar baju Hazriq menggunakan tangan kirinya sementara tangan kanannya menyeluk jaket hitam seraya mengeluarkan sepucuk pistol. Muncung pistol dihalakan tepat di dahi Hazriq.
Reaksi Rihan dan Hazriq sama-sama berubah. Kalau melibatkan pistol, Hazriq memang dalam bahaya. Rihan jadi tidak keruan. Dia takut Hazriq silap percaturan. Tersilap percaturan bermaksud maut menanti. Kalaulah dia dapat pistol itu, pasti mereka sudah dapat menyelamatkan diri.
Ash dan Burn tersenyum lebar. Kalau Black menarik picu pistol, habislah riwayat jejaka itu. Saat itu mereka terleka. Rihan pantas menendang mereka berdua tepat di celah kelangkang mereka. Mereka berdua jatuh terduduk.
Pandangan Black terkalih. Tubuh lemah Hazriq ditolak ke tanah, namun begitu pistolnya kini terhala tepat ke arah Rihan. Langkah Rihan terhenti. Bergerak seinci bermaksud nyawanya bakal melayang.
Bunyi siren polis membuatkan tindakan Black terhenti. Dia menyumpah-nyumpah saat ternampak kereta peronda polis menghampiri mereka.
Bodoh!” Black menuju ke arah Hazriq. “Kau punya angkara, kan?”
Hazriq tersenyum sinis. Mulutnya sudah penuh dengan darah.
Hari ni kau selamat. Jangan biarkan aku jumpa kau lagi. Kalau tak, maut jawabnya!” ugut Black sebelum beredar.
Serentak itu Hazriq rebah ke tanah.
Black terus menarik Burn dan Ash yang sedang mengerang sakit untuk bersembunyi.
Rihan pantas berlari menghampiri Hazriq. Hatinya dipagut rasa bersalah. Wajah Hazriq penuh dengan darah. Rihan terus memanggil Zea saat terpandangkan Zea sedang menuju ke arah mereka.
Kita ke hospital sekarang,” ujar Rihan.
Ambulans dalam perjalanan ke sini, Rihan,” lapor Zea. Dia baru sahaja selesai menghubungi ambulans.
Cik Rihan?” Teguran seseorang membuatkan pandangan mereka berdua berkalih.
Cik Rihan, sila ikut kami ke balai untuk membuat laporan,” ujar seorang inspektor yang memakai tanda nama Asyraf.
Inspektor Asyraf, boleh tak kalau kami ke hospital dulu? Selepas semua ni selesai, saya akan bawa Cik Rihan ke balai untuk buat laporan polis.” Zea cuba berunding.
Dia tahu emosi Rihan masih belum stabil. Dengan kejadian sebentar tadi, mustahil Rihan dapat membuat laporan dengan tenang. Apatah lagi bila diasak dengan pelbagai soalan nanti.
Inspektor Asyraf mengangguk tanda faham.
Ketibaan ambulans membuat mereka berdua menarik nafas lega. Hazriq dinaikkan di atas strecher. Rihan dan Zea turut menaiki ambulans tersebut. Mereka bimbangkan Hazriq. Sepanjang perjalanan, Rihan memegang kejap tangan Hazriq. Dia mahu Hazriq tahu dia selamat.
Zea mengusap-usap belakang Rihan. Dia cuba menyalurkan kekuatan kepada teman barunya itu. Dia sempat mengerling melihat wajah Rihan. Rihan tidak menangis, cuma raut bimbang terukir pada wajah gadis itu.
Zea, awak jangan beritahu nenek ya,” rayu Rihan.
Dia tidak mahu Nenek Fleury tahu. Kalau nenek tahu, pasti dia akan disuruh balik. Malah, kalau nenek tahu, pasti mamanya turut tahu. Dia tidak mahu Maurice bimbang. Dengan kesihatan mamanya yang semakin teruk itu, dia tidak sanggup menanggung sebarang risiko.
Zea mengangguk laju. Dia faham perasaan Rihan saat ini.