Followers

Thursday, September 10, 2015

VERSI CINTA KITA - BAB 10


ini merupakan bab terakhir yang akan Hana upload di blog. untuk tahu kesudahan kisa Tengku Elman dan Iryani, boleh lah dapatkan VCK di pasaran September ini. Boleh order secara online atau dapatkan di pasaran. 





KEHADIRAN Azlina mengundang seribu persoalan kepada Tini namun Tini terus sahaja membuka pintu pagar Vila Indah. Dia malas mahu menyoal. Tini mempersilakan Azlina untuk duduk di ruang tamu sementara dia memanggil Tengku Elman di biliknya.
Azlina tersenyum seraya duduk. Beg kertas yang dibawa bersama diletakkan di atas meja.
Azlina?” sapa satu suara.
Azlina pantas berpaling. Wajah Puan Sri Halimah menghiasi pandangannya. “Puan Sri.”
You buat apa dekat sini?” soal Puan Sri Halimah. Dia baru sahaja mahu berjumpa dengan Tengku Aryan. Ada sesuatu yang mahu dibincangkan dengan Tengku Aryan.
I datang nak jumpa Elman.” Azlina menghadiahkan senyuman kepada wanita itu.
Jumpa Elman?” soal Puan Sri Halimah. Matanya melorot ke beg kertas yang berada di atas meja. Kehadiran model IZ Holdings itu membuatkan dia pelik.
Sebenarnya, I baru balik dari Tokyo. I beli cenderahati untuk dia.” Azlina terus mengeluarkan salah-satu hadiah dari dalam beg kertas itu. “Untuk Puan Sri pun ada.”
Puan Sri Halimah mengerutkan dahinya. Kenapa pula dia harus dapat hadiah?
Azlina tersenyum manis. Walhal, hatinya berdetak hebat. Puan Sri Halimah terkenal dengan cerewetnya. Jadi, dia benar-benar takut jika Puan Sri Halimah bertindak memarahinya. Azlina menyerahkan sehelai kain sutera Jepun kepada Puan Sri Halimah.
Puan Sri Halimah pelik namun dia ambil saja kain itu. “Cantik.”
Azlina tersenyum tanda suka. “I memang pilih kain ni khas untuk Puan Sri.”
Azlina cuba memancing. Melihat cahaya wajah wanita itu, dia yakin wanita itu sudah jatuh dalam perangkapnya.
Puan Sri Halimah tersenyum dalam hati. Dia yakin Azlina tidak tahu apa yang berlaku dalam keluarga itu. Gadis itu seperti masuk dalam sangkar harimau.
Dehaman Tengku Elman membantutkan perbualan mereka. Azlina pantas berpaling ke arah Tengku Elman. Senyuman terukir serta-merta.
Hai, you.”
You buat apa dekat sini?” soal Tengku Elman.
Dia terperanjat sebenarnya saat Tini memaklumkan kedatangan Azlina. Bertambah terperanjat bila melihat Azlina berbual mesra dengan Puan Sri Halimah.
I datang nak bagi hadiah kat you. I dah bagi satu pada your mom. Your mom kata cantik.”
Tengku Elman mengerutkan dahi. “My mom?”
Azlina sempat mengerling ke arah Puan Sri Halimah.
Tengku Elman melihat ke arah kerlingan Azlina. Dia terus melepaskan keluhan kecil. Azlina sudah salah sangka tentang status dirinya dengan Puan Sri Halimah. Gadis itu masih tidak tahu tentang masalah keluarganya itu. Mana tidaknya, Tengku Azimudin akan lakukan apa sahaja agar hal keluarga mereka tidak diketahui orang luar. Mungkin sebab itu para wartawan tak akan lepaskan sebarang berita. Ada saja peluang untuk mereka ambil tahu tentang keluarga Tengku Azimudin.
Puan Sri Halimah mendengus. Gadis itu terlalu lurus.
Ni hadiah untuk you.” Azlina menyerahkan sesuatu berbentuk empat segi berwarna merah kepada Tengku Elman.
Tengku Elman mencapai hadiah itu. “Thanks.”
Azlina tersenyum manis.
So, you tunggu apa lagi kat sini? Yang lain untuk siapa?” soal Tengku Elman.
For your dad, your grandpa and others.”
You’re wasting your time.” Tengku Elman merengus.
Jom pergi.” Tengku Elman terus menarik lengan Azlina. Dia harus pergi dari rumah itu. Azlina bakal menyulitkan keadaan.
Puan Sri Halimah tersenyum penuh makna. Dia sedang merencana sesuatu. Dia dapat lihat sesuatu pada Azlina. Gadis itu sepertinya menyukai Tengku Elman. Dia akan gunakan gadis itu untuk jatuhkan Tengku Elman.
Bonda buat apa datang sini?” Soalan Tengku Aryan membuatkan Puan Sri Halimah tersentak.
Tengku Aryan baru sahaja pulang dari pejabatnya. Hari itu, dia balik awal memandangkan dia tidak berapa sihat.

MACAM mana progres kamu dengan si buta tu? Dah berjaya pikat dia?” soal Puan Sri Halimah.
Tengku Aryan melonggarkan tali lehernya. Dia malas mahu ambil pusing dengan bebelan Puan Sri Halimah.
Aryan, kamu dengar tak apa yang bonda tanya ni?” soal Puan Sri Halimah. Dia duduk bersilang kaki di sofa bilik anaknya.
Tengku Aryan buat tak dengar. Dia terus menghenyakkan dirinya ke atas katil. Dia pening kepala. Dia perlukan tidur.
Tengku Aryan Tengku Izudin, bonda tengah bercakap dengan kamu!” Puan Sri Halimah bangun dari duduknya sambil bercekak pinggang.
Bonda, Aryan penat. Aryan nak tidur,” pinta Tengku Aryan. Dia sudah berani melawan kata-kata Puan Sri Halimah.
Apa yang kamu buat sampai kamu penat sangat? Kamu balik pun awal hari ni.” Puan Sri Halimah mempersoalkan tindakan Tengku Aryan.
Buat apa yang bonda suruh,” ujar Tengku Aryan. Dia penat sebenarnya. Baru balik dari pejabat, kena dengar pula bebelan bondanya.
Riak Puan Sri Halimah berubah. Dia tersenyum. “Kalau macam tu, tak apalah kamu balik awal pun. Asalkan kamu buat apa yang bonda suruh.”
Tengku Aryan menarik nafas panjang. Tentu bondanya salah faham dengan ayat itu namun dia biarkan saja. Dia malas mahu membetulkan ayat itu.
Aryan rehatlah dulu. Biar segar. Nanti dapatlah pikat si buta tu.”
Tengku Aryan memejamkan matanya. Bila telinganya menangkap bunyi pintu bilik ditutup, dia membuka matanya. Dia kecewa dengan sikap ibunya. Dia dalam keadaan tidak sihat begitu pun Puan Sri Halimah masih memaksa dirinya untuk memikat Iryani. Tadi punyalah marah, bila dia kata buat apa yang bonda suruh, terus riak bondanya berubah. Kalaulah Puan Sri Halimah tahu maksud ayat itu, pasti wanita itu naik berang.
Tengku Aryan tersenyum kecil. Maksud Tengku Aryan dengan ayat itu adalah, bonda suruh ke pejabat, Aryan pergilah ke pejabat.

USAI kelas Cikgu Salina, Tini terus membawa Iryani ke dapur untuk minum petang. Tini turut mempelawa Cikgu Salina namun Cikgu Salina menolak. Cikgu Salina harus pulang segera kerana perlu membeli barang keperluan majlis perkahwinannya.
Tini mendudukkan Iryani di kaunter. Kemudian, dia terus masuk ke dapur untuk mengambil kuih petang itu. Piring yang berisi empat ketul karipap itu terus diambil lalu dia terus membancuh dua muk Milo. Setelah itu, dia meletakkan piring dan muk tersebut ke atas dulang lalu dibawa ke kaunter.
Nourishment is serve,” ujarnya seraya duduk bertentangan dengan Iryani.
Kuih?”
Karipap,” ujar Tini. Muk Milo Iryani ditolak ke arah Iryani.
Terima kasih,” ucap Iryani tatkala muk Milo itu diletakkan ke dalam genggaman tangannya.
Kau buat apa dekat sini?”
Sergahan daripada seseorang membuatkan suapan Iryani terbantut. Suara jejaka yang cukup dikenalinya itu membuatkan suapannya terhenti. Apa pulak yang aku dah buat kali ni? detik hati Iryani.
Aku tanya kau buat dekat sini?” tengking Tengku Elman apabila tiada jawapan yang diterima daripada Iryani.
Iryani tidak menyangka pula Tengku Elman berada di Vila Indah kerana seingatnya, Tini beritahu kepadanya Tengku Elman sudah keluar bersama teman wanitanya tadi.
Erk, saya tengah makan,” jawab Iryani, lambat-lambat. Karipap yang baru separuh digigit diletakkan kembali di piring.
Aku tahulah kau tengah makan. Aku tak buta macam kau. Aku tanya kau buat apa dekat sini? Kau tahu tak aku cukup tak suka tengok muka kau,” sambung Tengku Elman. “Bukan aku pernah cakap dengan kau dulu, aku memang boleh terima kau tinggal di sini tapi untuk jumpa kau setiap hari aku rasa macam nak gila!”
Iryani menundukkan wajahnya. Mengapalah lelaki itu seringkali membuatkan dia menangis? Apa salah dia sehingga membuatkan lelaki itu begitu marah kepadanya? Dia menggenggam tangannya menahan amarah. Titis-titis air mata menitis membasahi bajunya.
Tengku Elman!” Tini bersuara lantang. Dia yang sedari tadi berdiri di situ segera melawan.
Kenapa Tengku cakap macam itu? Ini kan rumah Tengku Azimudin. Tengku Azimudin yang benarkan dia duduk di sini. Kenapa pula Tengku Elman marahkan dia?” tempelak Tini. Dia sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh memperoleh keberanian untuk melawan anak Tengku yang sungguh ego itu.
Kau diam boleh tak? Suka hati akulah nak buat apa pun dengan dia. Aku cukup tak suka kalau dia ni ada depan mata aku.”
Kalau Tengku tak suka, Tengku boleh aje keluar dari rumah ni. Tengku pun selama ni bukannya selalu balik pun. Sejak kebelakangan ni aje, kan?” luah Tini. Bukannya dia tidak kenal dengan sikap Tengku Elman.
Semenjak jejaka itu tamat persekolahan dan melanjutkan pelajaran di TASB, Tengku Elman tidak lagi menjejakkan kaki ke vila itu. Namun, selepas satu perbincangan yang panjang dengan Tengku Azimudin, jejaka itu kembali ke vila tersebut.
Tini!”
Teguran Mak Kiah membuatkan Tini mengetap bibirnya. Dia sedar dia sudah terlanjur kata. Tini segera menoleh ke arah Mak Kiah. Wajah Mak Kiah yang memucat itu membuatkan Tini terus terdiam. Pandangannya dikalih daripada terus memandang ibunya atau Tengku Elman.
Mak tak ajar pun anak mak biadab macam ni,” kata Mak Kiah.
Elman ni mak, melampau sangat. Dia tak patut cakap Iryani macam tu,” adu Tini. Suaranya mulai mengendur.
Kalau macam tu sekalipun, bukan ini caranya untuk selesaikan masalah,” ujar Mak Kiah seraya meletakkan mangkuk berisi lauk makan malam di atas meja makan.
Elman dah makan?” Lembut Mak Kiah menyoal.
Tini mencebik. Sikap Mak Kiah yang selalu membela cucu Tengku Azimudin itu membuatkan dia geram. Dia sedar, keluarga Tengku Azimudin banyak membantu dirinya dan keluarganya. malah pelajarannya di TASB dibiayai sepenuhnya oleh Tengku Azimudin, tetapi itu tidak bermakna Tengku Elman boleh melakukan semua benda sesuka hatinya.
Saya dah tak ada mood nak makan,” ujar Tengku Elman seraya berlalu meninggalkan tempat tersebut.
Sengaja dia melanggar piring yang berdekatan dengan Iryani. Serentak itu, piring tersebut berderai mencecah lantai.
Iryani tersentak dengan bunyi tersebut. Dia segera bangun. Malang baginya tatkala dia bangun, kakinya menjadi mangsa kaca-kaca tersebut. Iryani terduduk menahan sakit. Darah yang mengalir di kakinya membuatkan Tini segera berlari mendapatkan Iryani.
Mak Kiah turut tidak ketinggalan. Perlahan-lahan wanita tua itu menggeleng. Pandangannya jatuh kepada wajah Iryani.
Sakit,” lirih Iryani sebaik sahaja Tini mengusik kaca yang telah tertanam ke dalam kaki Iryani.
Maaf.” Tini lekas meminta maaf. Dia segera menilik kaki itu.

TENGKU ELMAN menghempas pintu biliknya sekuat yang boleh. Hatinya dilanda rasa geram yang teramat sangat. Entah kenapa semenjak Iryani hadir ke rumah itu, dia sering dilanda perasaan geram dan marah. Sepasang mata milik Iryani itu membuatkan dia sangat membenci Iryani walaupun sepasang mata itu tidak dapat berfungsi.
Hempasan pintu yang kuat itu menarik perhatian Tengku Azimudin. Tengku Azimudin yang sedang khusyuk meneliti dokumen mengenai perjanjian usahasama dengan Emerald Empire terperanjat.
Apa yang berlaku, Osman?” soal Tengku Azimudin. Dokumen perjanjian antara IZ Holdings dan Emerald Empire ditutup lalu diletakkan ke tepi.
Biasalah anak muda. Pantang berjumpa, pasti ada aje perselisihannya,” kias Pak Cik Osman.
Apalah masalah si Elman tu sampai berperangai macam tu sekali?” keluh Tengku Azimudin.
Pak Cik Osman hanya menggeleng. Dia tidak berani menjawab walhal dia sudah dapat mengagak apa yang bermain dalam minda Tengku Elman. Pak Cik Osman tahu, Tengku Elman sangat mendendami Tengku Azimudin, cuma Tengku Azimudin sahaja yang tidak tahu.
Bunyi batuk bertalu-talu daripada Tengku Azimudin membantutkan lamunan Pak Cik Osman. Pak Cik Osman segera menghampiri Tengku Azimudin. Lelaki itu terbatuk-batuk menahan sesak di dada. Diusap-usapnya bahagian dada Tengku Azimudin agar sistem pernafasan majikannya itu kembali pulih. Pak Cik Osman terus memberikan Tengku Azimudin segelas air berserta ubat.
Tengku Azimudin pantas meneguk air mineral tersebut. Setelah itu, dia tersandar di kerusi seraya tercungap-cungap mencari udara. Penyakit jantungnya hampir-hampir sahaja menyerang.
Tengku, bawa-bawalah berehat. Hari dah nak malam ni. Dari tadi saya tengok Tengku leka buat kerja. Tengku, ingat lagi tak pesan Dr. Yazid? Kan Dr. Yazid suruh Tengku banyakkan rehat.” Pak Cik Osman mengingatkan. Wajah tua yang sudah ditemaninya semenjak muda lagi itu ditatap.
Saya bukannya tak nak rehat, Osman. Kalau saya rehat, siapa pulak yang nak buat kerja saya ni,” luah Tengku Azimudin.
Biarpun telah dinasihatkan oleh Dr. Yazid, doktor peribadi keluarga itu, Tengku Azimudin tetap berdegil. Sikap tidak percaya kepada orang lain dalam hal kerja membuatkan lelaki itu sebolehnya mahu menyelesaikan hal-hal kerja sendirian.
Tapi Tengku kena jaga kesihatan Tengku. Kalau Tengku terus buat kerja tak ingat dunia macam ni, Tengku jugak yang susah,” luah Pak Cik Osman lagi.
Dia tidak mahu Tengku Azimudin memenatkan badannya dengan urusan kerja. Pada Pak Cik Osman, lelaki yang seusia Tengku Azimudin selalunya sudah duduk di rumah dan menimang cicit.
Saya tak senang kalau tak buat kerja. Lagipun, kalau bukan saya yang buat kerja-kerja ni, siapa lagi? Nak harapkan budak-budak kat pejabat tu? Lagilah mustahil.”
Pak Cik Osman terdiam seribu bahasa. Dia tidak tahu bagaimana mahu membalasnya. Majikannya itu memang degil orangnya. Tak pernah mahu mendengar nasihat orang lain. Yang ditahunya, hanyalah apa yang difikirkannya.
Iryani macam mana hari ni?” soal Tengku Azimudin. Dia baru teringat perihal Iryani. Hari ini, merupakan hari pertama Iryani tanpa Aniqah.
Baik-baik aje, Tengku,” ujar Pak Cik Osman.
Dia tidak mahu membebankan otak Tengku Azimudin dengan masalah Iryani pula. Tengku Azimudin sudah terlalu sibuk memikirkan perihal keluarganya dan dia tidak mahu Tengku Azimudin terbeban lagi dengan masalah Iryani. Bukannya dia tidak tahu apa yang sudah Tengku Elman lakukan kepada Iryani.
IRYANI hanya diam di atas katil. Kebebasan untuk bergerak makin tersekat akibat luka di kakinya.
Awak jangan banyak bergerak. Luka awak tu dalam juga. Kalau awak banyak bergerak saya takut luka tu berdarah balik.” Tengku Aryan masih tidak lekang menilik balutan di kaki Iryani. Mujurlah dia pernah belajar serba sedikit cara merawat luka.
Terima kasih, Tengku. Mujur Tengku ada. Kalau tak, tak tahulah macam mana,” ujar Tini. Dia mengambil tempat di sebelah Iryani. Rambut Iryani yang terurai menutup wajahnya diselak ke belakang telinga.
Tini sibuk mengintai luka Iryani. Mujurlah dia terserempak dengan Tengku Aryan semasa dalam perjalanan ke bilik bacaan Tengku Azimudin.
Tak apa. Hal kecil aje. Macam mana boleh luka?” Tengku Aryan ingin tahu.
Sebenarnya...”
Tak ada apa. Saya cuma tak perasan ada kaca dekat situ. Sedar-sedar aje dah sakit,” celah Iryani. Dia tidak mahu Tini menyalahkan Tengku Elman. Mungkin juga Tengku Elman sendiri tidak perasan kedudukan piring itu.
Tini mendengus kasar. Dia tidak suka bila Iryani cuba membela Tengku Elman. Hatinya panas mendengar kata-kata Iryani. Tini terus ke ruang yang menempatkan air mineral. Air itu dituangkan ke dalam sebuah gelas.
Nah. Minum dulu. Lepas ni boleh terus tidur,” ujar Tini seraya menghulurkan gelas air tersebut.
Terima kasih,” ujar Iryani sambil tersenyum.
Aryan, terima kasih sebab sudi balutkan luka kaki saya,” ucap Iryani. Tangannya mengurut-ngurut kaki kirinya yang cedera.
Tak ada apalah. Hari pun dah malam ni. Saya minta izin dulu. Nanti tak perlu turun makan malam. Saya bawakan untuk awak.” Tengku Aryan mengukir senyuman manis. Sejurus itu, jejaka berusia 26 tahun itu segera bangun daripada duduknya.
Tapi nanti apa pulak atuk fikir kalau saya tak turun makan?” Iryani mulai risau.
Jangan risau. Nanti pandailah saya nak bagi alasan. Awak rehat aje dulu,” ujar Tengku Aryan seraya mengukir senyuman. Tangannya lembut mengusap ubun-ubun Iryani.
Tini mengangguk perlahan.
Tengku Aryan mengukir senyuman kecil lantas meminta diri untuk pulang ke biliknya.
Sebaik sahaja kelibat Tengku Aryan menghilang daripada pandangan, Tini terlompat kegirangan.
Handsomenya dia,” puji Tini. Kedua-dua belah tapak tangannya diletakkan di pipi. “Untungnya siapa yang dapat...”
Ehem.”
Deheman Iryani membuatkan Tini tersentak daripada lamunannya.
Kenapa?” soal Tini, bingung. Dia segera mengambil gelas minuman Iryani lalu dibawa ke singki untuk dibasuh.
Handsome sangat ke dia?” Iryani ingin tahu.
Sangat. Hehehe... Tapi sayang biar berapa ramai pun wanita yang minat pada dia, Dia tetap tak pandang.” Tini bercerita.
Kenapa dia tak pandang? Dia tu... mmm... gay ke?” Takut-takut Iryani menyuarakan pendapatnya.
Isy... ke situ pulak Cik Iry ni. Taklah. Dia bukan gay tapi dia tu tak berminat dengan perempuan lain selain daripada kekasih dia.”
Kekasih dia? Siapa?”
Entahlah. Dengar cerita, kekasih dia ada dekat luar negara. Kalau tak silap, perempuan tu satu jurusan dengan dia. Medic. Kalau tak silap, junior dia.”
Iryani mengangguk beberapa kali. Barulah dia mengerti maksud Tini. Eh, kejap. Medic?
Eh, dah lewat ni. Saya nak tolong mak saya kat dapur dulu.” Tini meminta diri ke dapur. Sudah menjadi kebiasaannya akan menolong ibunya menyiapkan makan malam.
Tak apalah. Awak pergilah bantu Mak Kiah. Kasihan pulak dekat dia nanti,” ujar Iryani.

TENGKU ELMAN hanya melihat dari sebalik pintu Iryani. Dia baru sahaja mahu keluar. Rasa bersalah menyerbu dirinya saat melihat kaki Iryani yang sedang berbalut. Dia sama sekali tidak menyangka gadis itu akan mengalami luka dengan tindakannya. Niatnya cuma sekadar mahu memberontak, tidak sangka pula kaki Iryani yang menjadi mangsa.
Tengku Elman segera kembali ke biliknya. Laci-laci di meja belajarnya dibuka. Dia tersenyum saat menjumpai barang yang dicarinya. Sebuah kotak kayu milik ibunya dikeluarkan. Setelah itu, dia mengambil keputusan untuk keluar mencari sesuatu. Kunci kereta diambil lalu perlahan-lahan dia menyelinap keluar dari vila itu.


Wednesday, September 9, 2015

VERSI CINTA KITA - BAB 9






IRYANI diam tidak terkata. Hari yang tidak mahu diharunginya tetap tiba. Mahu ataupun tidak dia terpaksa juga merelakan pemergian Aniqah.
Jaga diri baik-baik, ya,” pesan Aniqah.
Iryani tunduk merenung lantai.
Awak tak perlu risau. Cuba senyum sikit,” gesa Aniqah. Rasa bersalah kepada Iryani bertandang.
Betul awak tak nak saya hantar?” Iryani meminta kepastian. Tangannya masih memegang erat tangan Aniqah. Hatinya terasa berat untuk melepaskan Aniqah.
Aniqah pantas menggeleng.
Nanti saya takut, kalau awak hantar saya dekat airport, saya tak dapat pergi pula. Hantar sampai pintu dah cukup,” pujuk Aniqah. Wajah sayu sahabatnya itu direnung dalam. Sebuah bungkusan Cadbury Black Forest kecil diletakkan dalam genggaman Iryani.
Coklat kegemaran awak.” Setelah itu pandangannya jatuh kepada Tini pula.
Tini menghadiahkan senyuman manis kepada Aniqah.
Kalau macam tu, selamat jalan saya ucapkan. Semoga kita berjumpa lagi,” ujar Iryani. Dia reda dengan perpisahan tersebut.
Nah, untuk awak.” Iryani menyerahkan sebuah bekas yang berisi bola-bola kristal berwarna-warni.
Thanks, sayang. Jangan lupa solat,” pesan Aniqah. Balang kaca itu disambutnya lalu diserahkan kepada Tini.
Jaga Iry elok-elok,” pesan Aniqah kepada Tini.
Dan balang ni, tolong jaga sekali. Saya tak berani nak bawa sama. Saya takut pihak penerbangan tak benarkan,” sambung Aniqah.
Tini mengangguk tanda memahami.
Saya serahkan tanggungjawab menjaga Iryani pada awak,” lafaz Aniqah bersaksikan Pak Cik Osman dan Mak Kiah.
Tini mengangguk kecil seraya tersenyum.
Cik Aniq, boleh kita pergi sekarang?” tanya Pak Cik Osman. Kereta Perdana V6 milik Tengku Azimudin yang digunakan untuk ke lapangan terbang telah pun sedia menanti.
Aniqah menghembus berat nafasnya. Masa untuk dia berpisah dengan Iryani telah pun tiba. Ditariknya sahabatnya ke dalam dakapannya. Lama.
Saya pergi dulu, ya,” ujar Aniqah lembut.
Iryani melemparkan senyuman manis. Dia reda dengan perjalanan takdir hidupnya.
Itu pun nak sedih. Bukannya dia tu nak pergi sampai bila-bila pun,” sindir Puan Sri Halimah.
Entah bila dia tercegat di ruang tamu itu, mereka sendiri tidak sedar.
Adegan sebentar tadi membuatkan hati Puan Sri Halimah terasa jengkel.
Nanti dia balik jugak, kan? Selagi kau ada dekat sini,” ujarnya sinis. “Dia dah pergi. Kau bila lagi?”
Puan Sri!” Suara Tini meninggi. Berkerut dahinya menahan marah. Tini segera mendapatkan Iryani.
Jom,” ajak Tini. Tangan Iryani diraihnya lalu dipimpin kembali ke kamar Iryani.
Hah, larilah lari. Kau ingat dengan lari akan buat aku suka dekat kau? Takkan sesekali,” sindir Puan Sri Halimah. Dia baru sahaja tiba dari bilik anak terunanya.
Dahlah, malas aku nak layan. Buat berkedut muka aku aje,” rungut Puan Sri Halimah.
Dia kemudiannya terus berlalu meninggalkan ruang tamu tersebut. Puan Sri Halimah terus menyumbatkan dirinya ke dalam perut kereta. Selang beberapa saat, kedengaran enjin kereta dihidupkan dan laju bergerak membelah angin.
Tini mencebik. Matanya merah menahan marah. “Suka hati dia aje nak keluar masuk kat rumah ni. Apa dia ingat ni rumah dia ke? Baru jadi menantu Tengku dah berlagak.”
Tini, tak baik cakap Puan Sri macam tu.” Iryani menegur Tini.
Tapi Cik Iry...”
Dia jugak manusia biasa. Biasalah, dah namanya manusia, pasti ada silapnya.”
Tini menarik muka masam. Dia akui, manusia memang tak lepas daripada membuat kesilapan namun sikap angkuh dan bongkak Puan Sri Halimah membuatkan jiwa kecilnya benar-benar membenci wanita itu.

IRYANI meneruskan kelas Ekonomi bersama Cikgu Salina walaupun hatinya masih terasa dengan pemergian Aniqah. Cikgu Salina tiba lewat hari itu. Sengaja dia mahu memberi ruang kepada Iryani untuk meluangkan masa dengan Aniqah sebelum gadis itu berangkat pulang ke Poland.
Iryani segera mengeluarkan perakam suaranya seperti biasa untuk merakam suara Cikgu Salina yang sedang mengajarnya.
Dah ready untuk belajar?” soal Cikgu Salina.
Iryani semangat mengangguk. “Hari ni kita nak belajar subjek ekonomi, kan? Jom mula!”
Cikgu Salina tersenyum melihat Iryani. Iryani begitu cekal mencari ilmu pengetahuan di samping memiliki kekurangan.
Okeylah, kita pun dah lambat daripada syllabus ni.” Cikgu Salina segera mencapai buku buku rujukannya.
Baiklah, hari ni kita akan belajar mengenai penawaran dan pengeluaran. Iryani ada buat revision tak?”

SEMENTARA itu, Tengku Elman melangkah masuk ke sebuah bilik kecil yang terletak di dalam biliknya. Bilik rahsia yang mengandungi sebuah piano itu tidak pernah diketahui sesiapa melainkan dirinya.
Saban hari, jika dia tidak ke kafe Naim, dia akan menghabiskan kebanyakan masanya di situ. Jika bukan bermain piano, pasti tangannya tidak duduk diam menangkap gambar. Itu pun, jika Tengku Azimudin tidak ada di rumah. Jika ada, susah untuk dia menyeludup DSLRnya keluar dari vila itu.
Tengku Elman melangkah ke arah piano tersebut. Penutup bilah itu dibukanya. Setelah itu, laju tangannya memetik bilah-bilah piano tersebut sehingga menghasilkan sebuah muzik yang indah.
Tengku Elman tersenyum. Hatinya juga turut tersenyum menghayati setiap irama yang terhasil. Lagu yang digubah khas oleh arwah ibunya membuatkan hatinya begitu tenang.
Dia jadi rindu. Dia benar-benar rindukan arwah ibunya.
Kehilangan ibunya pada usianya baru menginjak enam tahun membuatkan dia terluka. Mujurlah, kamera dan lagu milik ibunya masih berada dalam simpanannya. Bila rindu, lagu itu dimainkan. Bila rindu, gambar ibunya ditatap. Bila dia bosan, kamera miliknya ibunya akan digunakan untuk menangkap gambar. Namun, sayang sekali bila impiannya untuk menjadi jurugambar terkenal, seperti ibunya, dihalang Tengku Azimudin.
Alasannya cuma satu, kerana dia berketurunan Tengku dan merupakan pewaris IZ Holdings. Tengku Azimudin tidak mahu sejarah berulang kembali.
Tengku Elman mendengus kasar. Perniagaan bukan minatnya namun Tengku Azimudin tidak pernah faham.

IRYANI memicingkan telinganya. Bunyi petikan piano itu membuatkan tindakannya terhenti.
Cikgu Salina segera berpaling melihat Iryani. Dia pelik bila Iryani tidak memberi respons pada soalannya.
Kenapa, Iry?” soalnya pelik.
Cikgu dengar tak bunyi piano tu?” soal Iryani.
Cikgu Salina turut memicingkan telinganya. Dia cuba mencari bunyi piano yang didengar Iryani namun gagal. “Tak ada pun.”
Iryani mengerutkan dahinya. Dia cuba mencari bunyi itu namun bunyi itu sudah pun tiada.
Dah. Dah. Semua tu mainan perasaan aje. Vila ni mana ada piano, Iryani.” Cikgu Salina segera menangkis semua andaian Iryani.
Sepanjang dia keluar masuk Vila Indah, tidak pernah pula dia terpandangkan piano di rumah itu.
Dah. Concentrate ya. Nanti Tengku marah saya pula kalau awak tak dapat score,” tegur Salina.
Dia memang begitu. Dia begitu tegas semasa mengajar namun sikapnya berpusing 180 darjah jika di luar mod mengajar.
Iryani masih seperti tadi. Dia yakin bunyi yang didengarnya sebentar tadi adalah bunyi piano. Dia benar-benar yakin.

TENGKU ARYAN memerhatikan Iryani dari tingkap biliknya. Komputer riba miliknya ditutup sebelum dia berpaling ke rak buku. Sebuah buku dikeluarkan. Buku yang mengandungi gambar wanita yang disayanginya ditatap. Wajah wanita itu diusap.
Boleh tak kalau sekali-sekala awak luahkan pendapat awak pada mak awak. Sekali aje, tolonglah pegang pada janji awak.”
Saat itu, suara wanita yang dicintainya suatu ketika dahulu kembali bermain di mindanya. Tengku Aryan cuba menyingkirkan suara itu namun gagal.
Dia segera memasukkan kembali buku itu ke dalam rak. Wajah sugulnya diraup menggunakan kedua-dua belah tangan. Wanita yang dikenalinya semasa menuntut di luar negara dahulu benar-benar merubah dirinya. Merubah dirinya daripada seorang kasanova ke dirinya sekarang. Dan kini ibunya mahu dia bertukar kembali ke perangai lamanya. Tengku Aryan melepaskan keluhan kecil.
Maafkan Aryan, sayang. Aryan terpaksa lakukannya juga,” luah Tengku Aryan. Deruan nafas yang mengenai cermin tingkap biliknya, meninggalkan wap.

NAIM membelek gambar-gambar milik Tengku Elman. Semenjak peristiwa Tengku Elman dimarahi oleh Tengku Azimudin kerana terlibat dalam dunia fotografi, Tengku Elman menjadikan pangsapurinya sebagai tempat menyimpan segala khazanahnya. Malah selepas tamat belajar, Tengku Elman tinggal bersamanya di pangsapuri itu. Cuma, sejak beberapa bulan yang lalu, Tengku Azimudin meminta Tengku Elman kembali ke Vila Indah. Jadi, memang mudah untuk Naim mendapatkan gambar-gambar milik Tengku Elman.
Naim tersenyum puas saat menjumpai gambar yang dicarinya. Sebuah gambar koala sedang tidur di atas pokok itu diambil lalu dimasukkan ke dalam sampul. Dia tersenyum puas namun senyuman terbantut. Dia mencari lagi banyak gambar menarik. Setelah berjumpa dengan beberapa gambar, dia bertekad untuk menghantar lebih daripada lima gambar untuk ekspo yang Azlina ceritakan tempoh hari.
Deringan telefon bimbitnya membuatkan dia sedikit tersentak. Gambar dan sampul itu diletakkan di tepi. Nama yang tertera pada skrin telefon membuatkan dia menarik nafas.
Yes, babe,” ujarnya setelah panggilan disambungkan.
“You dekat mana?” soal Azlina.
“Dekat rumah,” balas Naim, pendek.
“You tak pergi kafe?” soal Azlina lagi.
“Ada hal sikit. I masuk lambat. Kenapa?”
“Elman mana? Dia tak masuk jugak?” soal Azlina. Bungkusan merah yang dibalut khas untuk Tengku Elman dibeleknya.
“Entah dia. I dah lama tak jumpa dia!”
“You berdua bergaduh?” soal Azlina. Jarang sekali Tengku Elman dan Naim bergaduh.
“Taklah.” Naim berdalih. “You call I sebab nak tanya itu aje ke?”
Yup.”
“Okeylah. Kalau macam tu, you dah tahu jawapan, kan? I nak hang up. I busy ni.” Cepat-cepat Naim mahu memutuskan panggilan. Dia malas mahu layan Azlina. Dia bukan kaunter pertanyaan untuk ditanya di mana Tengku Elman.
“Nanti dulu!” Azlina separuh.
“Apa lagi?”
“I nak ajak you pergi rumah Elman.”
Naim tersentak. “Kenapa?”
“Saja. I kan baru balik dari Tokyo. I ada hadiah untuk Elman tapi nak bagi dia macam susah. Busy memanjang sampai you pun tak tahu dia ke mana,” ujar Azlina.
Kesempatannya selalu ke luar negara diambil untuk ambil hati keluarga Tengku Elman. Tambahan pula statusnya sebagai model di IZ Holdings memudahkan dia memikat hati keluarga Tengku Elman.
“I busy!” Naim enggan menemankan Azlina.
Sepanjang dia mengenali Tengku Elman, hanya sekali saja dia pernah ke sana. Bagi Naim, vila itu sungguh menyeramkan. Tanpa berlengah, terus dia mematikan panggilan itu.
Naim kembali menyambung tugasannya. Setelah berpuas hati dengan gambar yang dipilih, Naim terus memasukkan gambar tersebut ke dalam sampul sebelum bertekad mahu ke PWTC untuk memasuki pertandingan di ekspo itu menggunakan nama Tengku Elman.  


Monday, September 7, 2015

VERSI CINTA KITA - BAB 8






AGI itu Iryani bersiap ke kelas tanpa bantuan Aniqah. Aniqah disuruh melihat dari jauh. Iryani sedar, dia harus berdikari jika mahukan Aniqah pergi melanjutkan pelajarannya tanpa perlu bimbang tentang dirinya. Setelah itu mereka bergerak seiringan ke gazebo Taman Himpunan Bunga. Iryani turut melarang Aniqah daripada memimpinnya.
Bila flight awak, Aniq?” soal Cikgu Salina. Matanya tidak lekang melihat Iryani yang sedang membuat latih tubi di meja berhampiran dengan tempat mereka berbual.
Insya-Allah, kalau tak ada aral melintang saya akan fly lusa,” ujar Aniqah.
Segala persiapan sudah pun dibuat. Mujurlah ada Tengku Azimudin yang sanggup menguruskan tiket penerbangannya ke Poland.
Oh, dah nak pergi dah awak. Pasti Iryani akan sedih. Tapi saya yakin semangat Iryani kuat.” Cikgu Salina menzahirkan apa yang berada dalam hatinya. “Bila awak akan pulang ke sini?”
Mmm... kalau tak ada aral, hujung tahun ni saya akan pulang semula ke Malaysia hujung tahun. Cuti raya itupun kalau tak busy dengan praktikal atau kertas kerja,” lafaz Aniqah.
Kalau macam tu, apa kata malam ni kita keluar? Saya teringin nak belanja awak dan Iryani sempena pemergian awak ni. Yelah, entah bila kita dapat jumpa, kan? Sebab kalau ikut perkiraan saya, dalam hujung tahun ni juga Tengku Azimudin nak hantar Iryani ke London untuk sambung pelajaran dia.”
Aniqah mengangguk laju. Dia tahu mengenai itu. Malah, Iryani pernah bercerita kepadanya mengenai hal tersebut. Menurut Iryani, dia akan menduduki peperiksaan penting di kolej persendirian milik Tengku Azimudin iaitu Tengku Azimudin Schools of Bussiness (TASB) hujung tahun ini.
Mmm... tengoklah macam mana dulu. Saya kena tanyakan pada Tengku Azimudin dulu. Kalau dia benarkan, nanti saya bawa Iryani keluar malam ni,” ujar Aniqah. Dia tidak berani membuat keputusan tanpa berbincang dengan Tengku Azimudin terlebih dahulu.

TENGKU ELMAN terus menuju ke meja makan. Tudung saji dibuka namun kehampaan bertandang di hatinya pabila tiada makanan yang tersedia di sebalik tudung saji tersebut. Jam pada dinding dikerlingnya sekilas. 10.30 pagi. Dia terus bergerak ke dapur. Kelibat Mak Kiah dicarinya namun langsung tidak berjumpa. Akhirnya, dia kehampaan.
Tengku Elman memegang perutnya. Perutnya semakin galak menyanyi. Mahu tidak mahu, terpaksalah dia menyediakan makanannya sendiri.
Tengku Elman membuka peti ais. Beberapa biji telur ayam, bawang besar, susu segar dan beberapa biji cili dikeluarkan. Setelah itu, dia mencampurkan ke semua bahan tersebut lalu dipukulnya sehingga sebati. Setelah itu, terhasillah omelette yang digemarinya. Dia tersenyum puas.
Omelette aje?”
Teguran seseorang mengundang cebikan pada wajahnya. Tengku Elman tidak mempedulikan wanita itu. Dia meneruskan kerja memindahkan omelette yang telah siap ke dalam piring. Setelah itu botol sos yang tersusun di rak bahan kering dituangkan ke atas omelette tersebut.
Omelette aje?” Puan Sri Halimah mengulang soalannya.
Kau nak apa?” Kasar dia menyoal Puan Sri Halimah.
Tak ada apa. Saja. Mana orang gaji yang kau dengan atuk kau sanjung sangat tu? Tak reti nak buat kerja ke?” sambung Puan Sri Halimah lagi. Matanya melilau mencari kelibat Mak Kiah.
Kalau kau datang sini setakat nak sakitkan hati Mak Kiah, Tak payah pun tak apa,” perli Tengku Elman. Pinggan omelette miliknya dibawa ke kaunter dapur.
Dapur seluas ruang tamu yang menempatkan pelbagai jenis bahan basah dan kering itu hanya dipisahkan dengan meja ala-ala kaunter bar dengan ruang makan. Dia mengambil tempat di sebelah tingkap. Matanya dilontarkan ke luar. Pemandangan hijau dan Taman Himpunan Bunga hasil dekorasi arwah ibunya dipandang dari jauh.
Puan Sri Halimah masih tidak berpuas hati. Sikap Tengku Elman yang acuh tidak acuh itu membuatkan dirinya kegeraman. Dia turut mengekori Tengku Elman ke kaunter lalu melabuhkan punggungnya bertentangan dengan Tengku Elman.
Kau nak apa?” soal Tengku Elman tidak puas hati. Adabnya kepada orang tua itu sudah lama hilang.
Aku dengar budak tu selalu susahkan kau?” Puan Sri Halimah memulakan bicara.
Siapa?” Tengku Elman pelik. Siapa pula yang dimaksudkan wanita itu? Suapannya terhenti seketika.
Tu.” Puan Sri Halimah memuncungkan bibirnya ke arah Iryani.
Tengku Elman segera menoleh. Iryani kelihatan khusyuk mendengar ajaran Cikgu Salina, cikgu yang sama pernah mengajarnya semasa dia masih menuntut di TASB.
Tengku Elman mencebik. “Siapa kata?” Dia mengangkat kening kirinya.
Kalau kau datang sini setakat nak menyibuk hal aku, Kau boleh baliklah. Aku tak perlu nak celarukan hidup aku dengan soalan kau. Lagipun, apa motif kau? Tak pernah kau datang sini, tiba-tiba rajin pula nak singgah? Kenapa? Kau takut budak buta tu ambil semua harta Tengku Azimudin ke?” Sempat lagi Tengku Elman memerli. Tengku Elman sedar tentang kehadiran wanita itu yang semakin kerap ke vila.
Kau ni!” Puan Sri Halimah menggenggam buku limanya. Ingin rasanya dia mengamuk di situ namun dia segera menenangkan amarahnya. Berulang kali dia memesan dirinya untuk tidak marah agar tidak menjatuhkan maruahnya sendiri di hadapan Tengku Elman.
Aku datang nak lawat Aryan. Salah ke?” perli Puan Sri Halimah.
Aryan? Buat apa kau nak melawat Aryan? Aryan tu bukannya duduk sini.” Tengku Elman menyoal pelik.
Huh. Nampak sangat kau ni tak ambil tahu hal orang lain. Kau tak tahu ke Aryan dah pindah sini?” duga Puan Sri Halimah. Dia tersenyum sinis.
Garpu dan sudu di tangan Tengku Elman terlepas. “Buat apa?”
Kau ingat kau seorang aje ke yang layak untuk harta tu?” Puan Sri Halimah tidak berdalih lagi.
Dasar mata duitan!” Mata Tengku Elman mencerlung menahan marah.
Lantaklah apa yang kau nak gelarkan aku. Apa yang pasti aku akan dapatkan apa yang sepatutnya jadi milik aku. Kau, mak kau mahupun si buta tu tak berhak langsung ke atas harta tu,” ujar Puan Sri Halimah keras. Beg tangan hitam berjenama Bonia miliknya dicapai lalu disarungkan ke tangannya sebelum dia bertindak beredar dari situ.
Tengku Elman mengetap gigi. Berita yang baru didengarnya membuatkan hatinya bertambah panas. Mahu sahaja dia membaling sudu di tangannya namun kewarasan akal membantutkan tindakannya. Dia segera bangun untuk membasuh kembali pinggan yang telah digunakannya. Tindakannya terhenti apabila terlihatkan Iryani.
Aniqah tertawa melihat reaksi Tini yang kelihatan bingung.
Tini mengaru-garu belakang kepalanya kerana termelatah. Kepenatan menyiapkan tugasan universitinya membuat Tini terlelap seketika dan secara tidak sengaja, dia termelatah setelah pinggangnya disenggol Aniqah. Merah pipi Tini dibuatnya.
Iryani turut tertawa mendengarkan latah Tini.
Tengku Elman melepaskan keluhan kecil. Pertama kali dia melihat senyuman pada wajah Iryani. Kejamkah dia selama ini kerana selalu memarahi gadis itu walaupun kesalahannya kecil? Mungkin gadis itu juga seperti dia. Dia percaya pasti gadis itu ada impiannya sendiri sehingga sanggup mengikut arahan atuknya.

MAK KIAH terus sahaja mengeluarkan daging beku yang tersimpan di dalam peti ais. Mak Kiah baru sahaja pulang dari klinik kesihatan. Sakit kepala yang melampau malam tadi membuatkan dia mengambil keputusan untuk ke klinik. Sudahnya, setelah hampir 45 minit menunggu, barulah gilirannya tiba. Lantaran itu, terus sahaja wanita pertengahan 50-an itu melakukan tugasnya sebaik sahaja tiba di kediaman itu.
Mak Kiah pergi mana tadi?” soal Tengku Elman sebaik sahaja dia ternampak kelibat Mak Kiah. Tengku Elman baru sahaja selesai mencuci pinggan yang digunakan untuk makan tadi.
Mak Kiah terperanjat disergah begitu. Dia tidak perasan akan kehadiran Tengku Elman di dapur itu. Mak Kiah segera beristighfar.
Mak Kiah ke mana tadi?” Tengku Elman mengulang kembali soalannya.
Mak Kiah dari klinik. Mak Kiah rasa tak sihat. Tengku Elman dari mana? Tak ke kafe ke?” soal Mak Kiah.
Selalunya, jika waktu mencecah tengah hari seperti itu, Tengku Elman sudah pun selamat sampai ke Cinnamon Cafe dan akan pulang bila malam menjelma.
Malas nak pergi hari ni,” ujar Tengku Elman. Dia mengambil tempat di kaunter. Kelibat Mak Kiah ke hulu dan ke hilir, dilihatnya.
Malas nak pergi? Ke Tengku Elman bergaduh dengan Naim?” teka Mak Kiah.
Sekilas ikan di laut, dia sudah tahu yang mana betina dan yang mana jantan, inikan pula hubungan antara Tengku Elman dan Naim yang akrab seperti adik-beradik kandung. 25 tahun membesarkan Tengku Elman sudah cukup untuk membuatkan Mak Kiah mengenali sebarang perubahan pada Tengku Elman.
Taklah.” Tengku Elman cuba menafikannya.
Baguslah kalau macam tu. Lega hati Mak Kiah mendengarnya.” Mak Kiah mengukir senyuman. Sayur-sayuran yang baru dikeluarkan dari peti dibawa ke meja lalu dipotong.
Tengku Elman tidak berdiam diri. Dia turut membantu Mak Kiah. Kasihan pula Mak Kiah terpaksa memasak dalam keadaan yang sakit.
Tak apalah, Mak Kiah. Elman pun bosan kat bilik tu,” jelas Tengku Elman. Sendirian di vila itu tanpa berbuat apa-apa memang meletihkan. Kalaulah dia tidak melancarkan perang dingin dengan Naim!
Mak Kiah akhirnya akur. Dalam keterpaksaan, terpaksa juga Mak Kiah membenarkan. Jika diikutkan hati, mahu saja disingkirkan Tengku Elman dari dapur. Tindakan Tengku Elman membuatkan Mak Kiah rasa tidak selesa walaupun ini bukan kali pertama Tengku Elman membantunya di dapur.

ANIQAH tersenyum lebar saat mendapat lampu hijau daripada Tengku Azimudin. Mujur saja Tengku Azimudin memahami. Tepat jam 8.00 malam, Cikgu Salina tiba dengan kereta Viva miliknya. Tanpa berlengah, terus sahaja mereka menaikinya.
Cikgu Salina membawa mereka ke Restoran Darusalam kegemarannya yang terletak di Subang Jaya. Sebaik sahaja tiba, mereka terus membuat pesanan.
Cikgu memang suka makan dekat sini ke?” soal Aniqah. Matanya melilau melihat dekorasi dalaman restoran itu. Kipas kecil yang berpusing di atas siling itu menarik perhatiannya.
Yup. Arwah bapa saya suka datang sini. Lagipun, makanan dia sedap.” Cikgu Salina mengukir senyuman. Namun begitu, matanya tidak lekang daripada melihat telefon bimbitnya.
Cikgu tengah tunggu orang call ke?” soal Aniqah. Dari tadi dilihatnya Cikgu Salina merenung telefon bimbitnya.
Entah-entah, cikgu rindu dengan Dr. Azmi, ya?” usik Iryani pula. Dia turut mengukir senyuman. Maklumlah, kalau dah namanya dalam hati ada taman.
Eh, taklah. Saya tengah tunggu panggilan daripada adik saya.”
Adik cikgu?” Iryani mengerutkan dahinya. Dia tidak dimaklumkan langsung perihal tersebut.
Saya ingatkan cuma kita bertiga aje malam ni, cikgu,” ujar Aniqah, pelik. Dia juga seperti Iryani. Langsung tidak tahu-menahu perihal tersebut.
Pada asalnya memang macam tu tapi petang tadi masa berbual-bual dengan adik saya, saya tersebut nama Iryani,” jelas Cikgu Salina. “Entah macam mana, adik saya macam berminat nak jumpa Iryani.”
Iryani mengerutkan dahinya. Siapa pulak yang berminat nak berjumpa dengannya?
Kenapa pulak jadi macam tu?” Aniqah masih tidak berpuas hati dengan jawapan Cikgu Salina.
Ermm, saya cuma cerita yang saya nak keluar dengan studen saya. Studen saya ni istimewa orangnya. Lepas tu, terus aje adik saya macam berminat nak jumpa Iryani.” Cikgu Salina cuba menjelaskan duduk perkara sebenar.
Kami kenal adik cikgu ke?” Aniqah semakin pelik.
Tak pasti pulak. Mungkin ya, mungkin tak.”
Dia akan datang malam ni ke?” soal Iryani. Teringin juga dia berjumpa dengan adik Cikgu Salina.
Tak kut. Sebab katanya kalau dia dapat datang, dia akan call saya tapi dah hampir setengah jam kita kat sini, dia masih tak call saya,” ujar Cikgu Salina.
Kalau macam tu, tak ada rezeki kami nak jumpa dia.” Aniqah mengalah.
Iryani pula melepaskan keluhan kecil. Entah kenapa, dia berasa lega.