Followers

Sunday, August 16, 2015

VERSI CINTA KITA BAB 4



credited: mr google - kim woo bin and park shin hye (the heirs) 


CIKGU SALINA, guru persendirian yang diupah oleh Tengku Azimudin itu tersenyum manis melihat Iryani. Anak muridnya itu kelihatan begitu manis berpakaian tradisional Melayu. Perasaan gugup yang hadir sebelum itu serta-merta hilang. Mana tidaknya, ini merupakan kali pertama dia akan mengajar seorang pelajar istimewa sepanjang enam tahun mengajar.
Awalnya, dia sendiri terperanjat bila mendapat tahu tentang perkara itu daripada pengetua TASB. Malah, bila pemilik kepada TASB sendiri, Tengku Azimudin turun padang untuk meminta dirinya mengajar insan istimewa di hadapannya itu, dia jadi terharu walaupun dia sedar mengajar orang istimewa bakal mencabar mindanya.
Cikgu Salina masih mengukir senyuman. Wajah Iryani ditenungnya.
“Baiklah. Hari ini kita mulakan sesi suai kenal dulu. Boleh?” saran Cikgu Salina. Dia mahu Iryani selesa dahulu.
Iryani pantas mengangguk. Kalau diikutkan hati, dia memang belum bersedia untuk belajar hari itu. Justeru, peluang itu diambil tanpa teragak-agak.
Tini juga turut tidak ketinggalan mengangguk.
“Awak pun nak join sekali ke Tini?” soal Cikgu Salina. Dia pelik melihat Tini yang turut bersemangat.
Tini tersengih mendengar soalan itu. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“Dah siap tugasan yang Dr. Azmi bagi hari tu?” Cikgu Salina meminta kepastian. Dia tidak mahu kerana Tini mahu menyertai mereka, pelajar tunangnya itu menangguhkan tugasannya pula.
Tini terdiam seribu bahasa. Keluhan terbit di bibirnya. Tugasan pensyarahnya itu masih belum disentuh lagi walaupun cuti semester sudah lama bertamu.
Cikgu Salina tersenyum kecil. “Tak apalah. Hari ini awak join mereka tapi jangan lupa pulak buat tugasan tu. Nanti tak pasal-pasal saya pulak yang kena marah. Bukannya awak tak kenal pensyarah kesayangan awak tu.” Sempat lagi guru muda yang berusia awal 30-an itu mengingatkan Tini mengenai perangai tunangnya yang garang bila melibatkan assignment.
Tini mengangguk tanda faham. Lampu hijau yang diberikan oleh Cikgu Salina membuatkan dirinya gembira. Berada di vila itu tanpa ditemani teman-teman untuk berhibur membuatkan dia kadangkala kesunyian. Mujurlah, Iryani dan Aniqah kini tinggal di rumah itu. Sekurang-kurangnya, kini dia punya teman bicara.

SEMENTARA itu, di Teratak Indah milik keluarga Tengku Izudin, kelihatan Puan Sri Halimah termenung melihat mata air yang berada di taman teratak itu. Satu keluhan terbit tatkala dia teringatkan kata-kata Tengku Azimudin. Dia benar-benar tidak faham mengapa Tengku Azimudin harus mengambil cucu angkat. Mustahil hanya kerana mahu menjaga bapa mertuanya itu.
“Apa yang bonda menungkan tu?”
Teguran Tengku Aryan membantutkan lamunan Puan Sri Halimah. Tengku Aryan baru sahaja pulang dari IZ Holdings. Tugasnya sebagai ketua bahagian pemasaran IZ Holdings kadangkala membuatkan dia sentiasa sibuk. Mujurlah hari itu dia berjaya menyiapkan kerjanya awal.
Puan Sri Halimah melepaskan keluhan berat. Suasana yang mendamaikan itu tidak mampu mendamaikan hatinya.
“Bonda pelik kenapa atuk kamu nak kena ambil cucu angkat? Apa kurangnya kamu?” Nescafe yang disediakan pembantu rumahnya disisip perlahan.
“Mesti ada sebabnya kenapa atuk buat macam tu. Mungkin Aryan masih tak layak di mata atuk. Lagipun, itu kan harta atuk. Biarlah atuk yang tentukan siapa yang berhak,” suara Tengku Aryan. Dia turut membuang pandangannya ke arah luar.
“Tak layak? Habis tu, Aryan ingat kenapa bonda suruh Aryan masuk syarikat? Belajar pengurusan perniagaan?” soal Puan Sri Halimah. Matanya mencerlung ke arah Tengku Aryan.
Dia cukup tidak menyenangi kata-kata Tengku Aryan. Dia sudah banyak berhabis untuk anaknya semata-mata mahukan Tengku Azimudin mengiktiraf kedudukan Tengku Aryan.
Tengku Aryan terdiam mendengar kata-kata ibunya. Perlahan-lahan, dia mula mengolah maksud ibunya. Serta-merta satu keluhan terbit di bibirnya. Dia akui ibunya hanya mahukan yang terbaik untuk dirinya namun tindakan bondanya itu langsung tidak dapat diterimanya.
“Kita kena lakukan sesuatu. Bonda rasa atuk kamu ada agenda di sebalik semua ni. Atuk kamu tu bukannya senang nak terima orang lain dalam keluarga ni,” ujar Puan Sri Halimah.
Dia kenal benar dengan Tengku Azimudin. Sedangkan dirinya yang sudah lebih 25 tahun menyertai keluarga itu pun, Tengku Azimudin masih tidak dapat terima, inikan pula budak kampung itu.
“Dahlah bonda. Tak usah fikir banyak sangat. Tak baik untuk kesihatan bonda,” pujuk Tengku Aryan.
“Bonda yakin atuk kamu ada agenda dia.”
Tengku Aryan melepaskan keluhan kecil. Ibunya itu memang keras kepala. Susah untuk dia memujuk mahupun mempengaruhi ibunya.           
“Bonda nak kau pikat budak buta tu,” arah Puan Sri Halimah tiba-tiba. Pandangannya terhala ke arah Tengku Aryan. Idea itu tiba-tiba sahaja menerjah ke dalam fikirannya.
Tengku Aryan tersentak mendengar arahan itu. “Biar betul bonda. Aryan tak naklah.”
“Tak nak? Berani Aryan nak bantah kata bonda? Aryan tak takut kalau bonda block semua kad kredit Aryan? Tarik balik semua kemewahan yang ada dekat Aryan?” ugut Puan Sri Halimah. Matanya menjegil memandang anak terunanya.
Tengku Aryan terdiam. Kata-kata yang keluar dari mulut Puan Sri Halimah merupakan ugutan untuknya.
“Tapi bonda...” Tengku Aryan cuba membantah. Masakan dia mahu memikat Iryani sedangkan hatinya milik orang lain.
“Tak ada tapi-tapi.” Puan Sri Halimah masih bertegas dengan rancangannya.
“Nak tak nak, Aryan kena buat apa yang bonda suruh,” putus Puan Sri Halimah.
“Dan bonda nak kamu lupakan perempuan tu. Jangan sampai bonda buat sesuatu yang bakal buat kamu menyesal,” ugut Puan Sri Halimah. Dia tahu ada seseorang yang menghalang Tengku Aryan daripada menuruti kemahuannya. “Jangan ingat bonda tak tahu dia dah kembali ke sini!”
Tengku Aryan terkejut mendengar amaran bonda. Mana bonda tahu pasal dia? bisik hati kecil Tengku Aryan. Sejurus itu, satu keluhan terbit di bibirnya. Kenapalah aku tak boleh lawan syarat bonda yang satu tu? Kenapa syarat itu yang bonda gunakan untuk suruh aku ikut cakap dia?

SETELAH seharian berada di gazebo Taman Himpunan Bunga untuk sesi perkenalan, akhirnya mereka berdua kembali ke bilik. Aniqah segera membimbing Iryani. Namun, riak mukanya berubah serta-merta tatkala kelibat Iryani hilang daripada pandangannya.
Iryani teraba-raba mencari dinding. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Aniqah yang sepatutnya menjadi ‘mata’nya sudah menghilangkan diri. Dia keliru. Ke mana Aniqah? Diakah yang meninggalkan Aniqah atau Aniqah yang meninggalkan dirinya sendirian di situ?
Gedebuk! Iryani terduduk di lantai. Punggungnya terasa perit. Sakit terjatuh semalam pun masih belum hilang, kini tambah lagi sakit yang baru.
“Maaf,” pohon Iryani. Salahnya juga kerana tidak berhati-hati.
Tengku Elman mendengus kasar. Hatinya menggelegak menahan marah. Wajah insan yang melanggarnya tadi direnung tajam.
“Kau ni kalau tak menyusahkan aku boleh tak?” Tengku Elman mengetap giginya. Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja dia menengking dan membelasah Iryani.
“Maaf, saya tak sengaja.” Iryani tidak putus-putus memohon maaf. Dia hanya duduk diam tidak berkutik di atas lantai.
“Kalau dah tahu diri tu buta, janganlah gatal merayap. Kawan kau tu pergi mana? Tak reti-reti nak jaga kau? Tak reti-reti nak bawa kau? Tak pasal-pasal habis semua benda kau langgar kat rumah ni. Apa kau ingat barang-barang kat rumah ni murah semuanya? Mati hidup semula pun tak terbayar tau. Jangan ingat kau ni cucu kesayangan atuk aku, kau boleh senang-senang nak bermaharajalela dalam rumah ni. Bebas ke sana ke mari,” sembur Tengku Elman. Wajah Iryani yang terdiam itu direnungnya tajam.
Iryani terdiam mendengar semburan Tengku Elman. Kelopak matanya terasa memberat. Perlahan-lahan, air matanya mula mengalir. Kata-kata Tengku Elman begitu pedih menjentik telinganya.
“Huh! Dasar cengeng. Cakap sikit nak nangis. Cakap sikit nak nangis. Menyusahkan orang betul. Dahlah. Ke tepi. Malas aku nak layan kau,” ujar Tengku Elman, sinis. Dia menolak tubuh Iryani ke tepi menggunakan tepi kakinya.
Iryani terdorong ke tepi. Mukanya tertekup di atas lantai. Rambut Iryani yang panjang separas bahu itu melorot menutupi mukanya. Tengku Elman separa mencangkung di sebelah Iryani.
“Kau jangan ingat aku suka kau tinggal dekat sini. Aku takkan pernah suka, faham!” Rambut Iryani direntapnya.
“Lepas ni, jangan bagi aku jumpa kau lagi,” bisik Tengku Elman. Setelah itu, dia terus menuju ke biliknya.
“Iry, awak okey tak ni?” soal Aniqah.
Dia segera berlari mendapatkan Iryani sebaik sahaja dia melangkah masuk ke ruang tamu tersebut. Puas dicarinya Iryani, akhirnya berjumpa juga. Dia sendiri tidak sedar bila masa Iryani masuk ke dalam kediaman itu. Aniqah kaget melihat keadaan Iryani. Tubuh Iryani diraih ke dalam pelukannya.
“Aniq...” Iryani terus menyembamkan mukanya ke dalam pelukan Aniqah.
Aniqah mengusap lembut rambut Iryani. Iryani terus menangis teresak-esak.



No comments :

Post a Comment

>dah baca jangan lupa komen ya...
hope kengkawan suka dengan n3 nie...
komen dari kalian sedikit sebanyak memberi semangat untuk Hana terus post lagi<