Followers

Thursday, August 6, 2015

VERSI CINTA KITA BAB 3






TENGKU ELMAN menekup mulut Iryani dari terus menjerit. Haruman wangian lavender daripada rambut Iryani membuatkan dia terkaku seketika. Haruman itu mengingatkan dirinya kepada seseorang.
Iryani meronta-ronta minta dilepaskan. Dia mula berfikir yang bukan-bukan. Dengan kekurangan yang ada pada dirinya itu membuatkan kebimbangan cepat menguasai dirinya.
“Aku lepaskan kalau kau janji kau tak jerit lagi,” tawar Tengku Elman. Dia diam memerhatikan reaksi Iryani.
Iryani segera mengangguk. Dia lemas bila mulutnya ditekup.
Tengku Elman tersenyum melihat anggukan Iryani. Perlahan-lahan dia melepaskan tekupan tangannya.
“To...”
Sekali lagi, Tengku Elman menekup mulut Iryani. 
“Kau ni degil, ya? Dah aku kata jangan jerit, jangan jeritlah. Aku bukannya nak apa-apakan kau pun,” gertak Tengku Elman.
Iryani terus terdiam. Dia tidak berani bersuara. Gertakan Tengku Elman membuatkan dia kecut perut.
Tengku Elman melepaskan tangannya semula bila Iryani tidak lagi meronta.
“Kau apa hal datang sini?” Tengku Elman menyoal kasar. Tangan kanannya cepat-cepat menarik selimut lalu dia pantas membaluti tubuhnya yang separa terbuka itu. “Nak mencuri?”
“Gila ke?” Mata Iryani membulat.
“Kau tu buat apa dekat bilik aku?” soal Iryani pula. Sengaja dikeraskan suaranya untuk menahan gentar di hatinya.
“Hah? Kau ni biar betul? Bilik sendiri pun tak reti beza? Ni bilik akulah. Baik kau tengok betul-betul.”
“Erk...” Iryani terkedu. Biar betul aku dah salah bilik ni? Takkanlah! Tapi mungkin juga! Tidakkk!
“Sebenarnya, saya...” Iryani mulai gagap.
Tengku Elman diam memerhatikan keletah Iryani. Ada sesuatu pada gadis itu yang membuatkan dia curiga. Perlahan-lahan dia bergerak mendekati Iryani.
“Maaf... sebenarnya saya...” Iryani menukar kata ganti dirinya. Perasaan bersalah mulai menerjah masuk ke dalam benaknya.
Tengku Elman melayang-layangkan telapak tangannya di hadapan Iryani. Namun, gadis itu langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi. Tengku Elman tersenyum sinis.
“Kau buta?” Tengku Elman terus mengacukan soalan itu.
Riak muka Iryani terus berubah mendengar soalan itu. Melihatkan reaksi Iryani, Tengku Elman melepaskan keluhan kecil.
“Dah, lebih baik kau keluar sekarang sebelum ada yang pecah kepala dia sebab aku hantuk dekat dinding,” ugut Tengku Elman separa mengherdik.
Dia malas mahu melayan fikirannya. Patutlah gadis itu tiada reaksi langsung bila melihatnya tidak berbaju memandangkan dia baru selesai mandi.
Iryani tersentak mendengar herdikan Tengku Elman. Cepat-cepat dia memusingkan badannya untuk ke luar dari bilik itu. Kakinya pantas mengorak langkah sebelum sekali lagi dia terjatuh di tempat yang sama.
Tengku Elman ketawa terbahak-bahak melihat Iryani jatuh. Berair matanya mentertawakan Iryani.
“Kau ni ada mata tak nak guna. Lepas tu menyusahkan orang. Oh, aku lupa pulak. Kau buta, kan? Meh sini, aku tolong.” Tengku Elman menghulurkan tangannya untuk membantu Iryani.
“Maaflah sebab terpaksa menyusahkan awak. Maklumlah, saya ni buta. Selalu menyusahkan orang. Awak pun kenalah bersiap sedia untuk disusahkan saya.” Giliran Iryani pula memerli.
Mata Iryani sudah mula memerah. Dia benar-benar terasa dengan sikap Tengku Elman. Dia cuba untuk bangun dengan sendiri.
Tengku Elman terkedu mendengar kata-kata Iryani. Mata Iryani yang merah menahan marah membuatkan dia rasa bersalah.
“Dahlah. Malas nak bertengkar,” ujar Iryani segera melangkah perlahan-lahan ke arah pintu walaupun dia tidak tahu di mana kedudukan pintu bilik itu.
“Iry, awak tak apa-apa ke?”
Iryani terpinga-pinga. Suara Aniqah yang menyinggah kuping telinganya membuatkan langkahnya terhenti.
Aniqah pantas mendekati Iryani. Jeritan Iryani membuatkan dia bergegas berlari mencari Iryani. Aniqah menilik tubuh Iryani. Khuatir jika sahabatnya itu terluka manakala matanya sempat mengerling ke dalam bilik Tengku Elman. Kelihatan Tengku Elman menjengilkan matanya dari dalam bilik.
“Kenapa ni? Apa yang dah berlaku ni?” Tergesa-gesa Tengku Azimudin menghampiri bilik itu. Jeritan Iryani sebentar tadi mengundang resah di hatinya.
“Tak ada apa-apa atuk. Iry cuma salah masuk bilik,” ujar Iryani perlahan. Dia menarik tangan Aniqah. Dia resah bila terpaksa berlama di situ. Dia tidak mahu Tengku Azimudin terus-menerus menyoalnya.
“Atuk, kami balik bilik dulu,” pinta Aniqah. Dia mengerti perasaan Iryani kala itu.
Anggukan daripada Tengku Azimudin membuatkan Aniqah tersenyum nipis. Dia pantas membawa Iryani kembali ke bilik mereka.

APA semua ni?” Tengku Azimudin meninggikan suaranya. Keadaan bilik Tengku Elman yang berterabur itu membuatkan Tengku Azimudin berfikir yang bukan-bukan. “Apa yang dah Elman buat dekat Iryani?”
Nothing,” jawab Tengku Elman sepatah.
Nothing? Kalau tak ada apa-apa, ni apa?” soal Tengku Azimudin seraya merujuk keadaan bilik tersebut. “Kenapa dia menangis macam tu?”
“Dasar perempuan cengeng.” Selamba Tengku Elman menuturkan ayat itu. Pandangannya dikalihkan ke luar tingkap. Dia malas mahu menghadap muka datuknya buat kali kedua hari itu.
“Pandang muka atuk bila atuk sedang bercakap dengan kamu,” tegas Tengku Azimudin.
“Kenapa atuk tak cakap yang dia buta?”
Soalan Tengku Elman membuatkan Tengku Azimudin tersenyum.
Why?”
“Penting ke kalau dia celik?” Soalan Tengku Elman dibalas dengan soalan.
Tengku Elman menoleh ke arah Tengku Azimudin. “Memang penting. Takkanlah atuk nak Elman kahwin dengan orang buta? Tolonglah... tak ada kelas langsung.”
“Maknanya, Elman setuju dengan pertunangan ni kalau dia celik?” Tengku Azimudin meminta kepastian.
“Siapa kata? Elman tak setuju dan takkan pernah setuju. Tambah-tambah lagi, atuk sedar tak yang dia tu buta. B.U.T.A. Mustahil Elman akan sudi,” balas Tengku Elman. Dia pantas menarik baju dari dalam almari lalu memakainya.
“Huh, apa yang sebenarnya atuk fikir bila atuk nak Elman kahwin dengan dia?” Sinis Tengku Elman menyoal.
Tengku Azimudin menghela nafas panjang. Dia merenung wajah cucunya lama sebelum kepalanya mengeleng ke kiri dan ke kanan beberapa kali. “Berapa banyak kali atuk kena cakap dengan kamu pasal perjanjian tu?”
“Alasan atuk tak logik sebab tu Elman susah nak percaya. Kenapa Elman? Kenapa bukan Aryan? Dia lebih layak. Dia berwibawa dan berkaliber. Apa yang ada pada Elman? Nothing!” akui Tengku Elman.
Selama ini pun segala urusan syarikat dilakukan oleh Tengku Aryan, satu-satunya abang yang dia ada. Walaupun hubungannya dengan Tengku Aryan tidak rapat, dia tetap mengakui kehebatan Tengku Aryan dalam menguruskan syarikat. Malah dia yakin, Tengku Aryan adalah calon yang paling sesuai untuk meneruskan amanat dan perjanjian yang dibuat oleh Tengku Azimudin.
“Sudahlah. Atuk malas nak bertekak dengan kamu, Elman. My decision is final. Bila sampai waktunya, atuk akan tunangkan kamu berdua, sama ada kamu setuju ataupun tidak. Full stop.” Tengku Azimudin memberikan kata putusnya.
“Tapi atuk...” Tengku Elman masih tidak berpuas hati dengan keputusan Tengku Azimudin.
“Tak ada tapi-tapi. Itu keputusan atuk,” tegas Tengku Azimudin sekali lagi. Tengku Azimudin terus sahaja beredar dari bilik itu. Pintu yang tersedia ternganga dari tadi, dibiarkan ternganga.
Tengku Elman melepaskan keluhan kecil. Dia segera menutup pintu biliknya sebelum bertindak menendang bucu katil.

SAYA dah suruh awak tunggu kat bawah tadi, kan? Kenapa awak degil naik?” soal Aniqah. Dia berulang-alik di hadapan Iryani.
“Boleh tak awak jangan ke hulu ke hilir. Sakit otak saya,” tegur Iryani. Desiran angin yang terhasil daripada tindakan Aniqah itu membuatkan kepalanya berserabut.
“Nak lari topik ke? No. Saya takkan benarkan.” Aniqah menarik kerusi dari meja belajar Iryani lantas duduk menghadap Iryani. “Kenapa awak ni degil sangat?”
“Saya bosan tunggu awak. Jadi, saya naiklah. Lagipun, saya takut duduk dekat bawah tu seorang diri.” Iryani mengetap bibir.
Aniqah diam seketika. Dia tahu Iryani masih tidak biasa dengan keadaan di rumah itu. Malah, dengan kekurangan yang ada pada Iryani, susah untuk gadis itu percaya kepada orang. Semuanya gara-gara peristiwa itu. Peristiwa yang meragut kepercayaan Iryani kepada semua orang.
“Yalah, salah saya,” akui Aniqah. Dia tidak seharusnya berkeras dengan Iryani. “Tapi janji jangan buat lagi. Suspens dibuatnya.”
“Tahu suspens,” perli Iryani. Dia segera berpeluk tubuh.
Aniqah tersengih mempamerkan giginya. “Eh, by the way, awak buat apa dekat bilik mamat garang tu?” soal Aniqah, ingin tahu.
“Saya silap masuk bilik. Saya ingat tu bilik kita. Rupanya bukan,” ujar Iryani. “Tapi saya rasalah bilik tu mesti macam tongkang pecah. Sebab jalan sikit jatuh, jalan sikit jatuh.”
Aniqah tersenyum mendengar khabaran itu. Masakan tidak, dia sendiri turut terlihat keadaan bilik Tengku Elman. Bilik itu kelihatan seperti baru dilanda geroda itu. “Memang pun. Macam tongkang pecah.”
“Tak pasal-pasal saya jatuh,” adu Iryani. Lututnya diurut perlahan.
“Saya tak salahkan awak sebab salah masuk bilik. Salah saya sebab saya lupa nak beritahu awak. Aras ni, bukan bilik kita aje yang ada. Ada banyak lagi bilik,” ujar Aniqah.
Iryani mengetap bibir. Satu keluhan kecil terbit di bibirnya.

TENGKU ELMAN bersiul kecil saat keluar dari biliknya. Dia baru sahaja menerima panggilan daripada Naim yang mahukan bantuannya. Sejak kebelakangan ini, Naim selalu saja meminta bantuannya. Semuanya gara-gara Naim kekurangan pekerja untuk membantunya di kafe. Namun langkah kakinya terhenti tatkala terlihatkan Tini yang sedang menatang sebuah dulang.
“Untuk siapa ni?” Tengku Elman menegur Tini. Matanya mengerling dulang. Hidangan tengah hari hari itu terhidang.
“Untuk Cik Iryani, Tengku,” ujar Tini, lambat-lambat. Ketinggian Tengku Elman yang mencecah 180 senimeter itu membuatkan dia harus mendongak bila ingin bercakap dengan Tengku Elman.
“Dia tu tak ada kaki ke nak turun? Nak kena bersembah,” perli Tengku Elman.
Tini diam seribu bahasa. Walaupun selama ini dia membesar bersama jejaka itu. Dia tidak pernah mempunyai keberanian untuk menegur mahupun melawan kata-kata Tengku Elman.
“Menyusahkan orang aje,” ujar Tengku Elman perlahan. Dia membetulkan leher baju kemeja-T yang dipakainya.
“Maaf, Tengku. Ni arahan Tengku Azimudin,” ujar Tini. Kepalanya separa menunduk. “Maafkan saya, Tengku. Saya minta diri dulu.”
Tini segera berlalu dari situ setelah meminta izin. Tidak sanggup dia berlama di situ. Dia takut dia pula yang akan terkena tempias amarah Tengku Elman yang dirasakan tidak bertempat itu.
“Biarlah dia. Kau kan tahu keadaan dia macam mana?” ujar sebuah suara dari belakangnya.
Tengku Elman tersenyum sinis. Dia cukup kenal suara itu. Tengku Aryan dan keluarganya pasti datang untuk berjumpa dengan datuk mereka. Memang sudah menjadi kebiasaan mereka untuk datang ke kediaman tersebut sekali seminggu. Cuma sejak kebelakangan ini, keluarga tirinya itu selalu sangat datang ke Vila Indah. Walaupun dia dan Tengku Aryan merupakan adik-beradik sebapa, dia tetap tidak sukakan kehadiran abangnya itu. Terutama jika abangnya itu hadir bersama Puan Sri Halimah.
“Kau sibuk apasal? Ada ke aku tanya kau? Tak ada, kan? So, blahlah,” herdik Tengku Elman. Mencerlung matanya melihat Tengku Aryan.
Tengku Aryan tersenyum sinis. Perangai Tengku Elman tak pernah berubah. Walaupun mereka berdua tidak seibu, mereka masih seayah.
“Kau apasal datang sini? Tak puas lagi bodek atuk? Pergilah bodek orang tua tu. Kau ingat senang-senang kau boleh ambil harta orang tua tu?” Tengku Elman menghamburkan amarahnya.
Hatinya terus berbara sebaik sahaja melihat Tengku Aryan. Dia tahu Tengku Aryan tidak salah, namun dia tidak dapat menghalang hatinya untuk membenci abangnya kerana Puan Sri Halimah, bondanya Tengku Aryan.
“Elman!” Lantang Tengku Izudin menegur Tengku Elman.
Tengku Elman menghela nafas panjang. Dia menoleh ke arah suara itu. Kelihatan dua pasang mata milik Tengku Izudin dan Puan Sri Halimah sedang memandang mereka. Puan Sri Halimah tersenyum sinis.
“Dahlah. Buang masa aku aje,” ujar Tengku Elman melangkah laju ke arah pasangan tersebut.
Mood yang tersedia berangin itu bertambah berangin dengan kehadiran Puan Sri Halimah dan Tengku Izudin. Tengku Elman terus sahaja meluru ke arah Puan Sri Halimah. Riak wajah wanita itu membuatkan senyuman terukir pada wajahnya. Sebaik sahaja, Tengku Elman mendekati Puan Sri Halimah, jejaka itu terus menukar arah laluannya. Sengaja dia melanggar bahu Puan Sri Halimah.
Puan Sri Halimah mengaduh sakit. Bahagian bahu yang dilanggar itu diusap berkali-kali untuk meraih simpati suaminya, Tengku Izudin.
Tengku Elman mencebik melihat drama yang bermain di layar mata hitamnya.
“Elman!” Tengku Izudin bersuara lantang namun tidak diendahkan Tengku Elman.
Tengku Elman terus memasuki kereta Honda miliknya lalu memecut keluar dari pekarangan Vila Indah, meninggalkan tiga beranak itu dalam keadaan yang terpinga-pinga.
“Kenapa kau berubah sampai macam ni sekali?” Tengku Aryan tertanya-tanya dengan sikap adiknya itu.

CINNAMON CAFE mula dipenuhi dengan ramai pelanggan. Mana tidaknya, jam sudah menginjak tengah hari. Orang-orang yang bekerja di pejabat sudah mula keluar untuk menikmati makanan tengah hari.
Tengku Elman terus sahaja menukar bajunya ke baju seragam Cinnamon Cafe. Wajah cemberutnya mengundang pertanyaan di fikiran Naim. Serba salah pula Naim meminta bantuan Tengku Elman. Bukannya apa, kekurangan pekerja buatkan dia tak ada pilihan lain. Dia sayangkan Cinnamon Cafe.
Cinnamon Cafe merupakan perniagaan milik keluarganya. Sejak ayahnya disahkan lumpuh, dialah yang banyak menguruskan kafe tersebut. Di usia seawal 25 tahun, dia sudah dapat mengadaptasikan dirinya dengan dunia perniagaan kafe.
“Hei, bro. Kau apa hal datang kafe aku dengan muka macam ni? Kau ada hal ke? Kalau kau ada hal, tak payah datang pun takpe. Aku boleh minta tolong orang lain,” ujar Naim. Dia segera menghampiri Tengku Elman yang baru sahaja mahu mengelap meja.
“Taklah. Kau sendiri tahu kan aku mana ada kerja nak buat, sebab tu aku datang kat sini.” Tengku Elman masih meneruskan kerjanya.
“Habis tu kenapa muka kau masam semacam? Gaduh dengan Mr. President?” soal Naim. Sengaja dia merujuk Tengku Azimudin dengan gelaran Mr Presiden.
“Entahlah, bro. Aku betul-betul tak faham apa masalah dia dengan aku sampaikan dia buat keputusan macam tu sekali.” Tengku Elman berhenti mengelap meja. Badannya ditegakkan sambil bercekak pinggang.
“Dia buat apa pulak kali ni?” soal Naim.
Dia kenal benar perangai Tengku Azimudin yang satu itu. Tengku Azimudin akan buat apa sahaja asalkan Tengku Elman tunduk pada arahannya. Nalurinya kuat mengatakan bahawa sikap memberontak Tengku Elman kadangkala mendorong Tengku Azimudin untuk berbuat demikian.
“Dia paksa aku kahwin.”
Naim hampir terjatuh daripada duduknya. “Biar betul?”
“Ni bukan masanya untuk aku bergurau, dear cousin.” Serius Tengku Elman menuturkan katanya.
But why?”
Bunyi loceng menandakan pelanggan masuk ke dalam Cinnamon Cafe mengalih perhatian mereka. Naim terus sahaja menuju ke arah mereka seraya menyambut kedatangan mereka. Namun sempat matanya memberi isyarat bahawa cerita mereka tidak habis di situ.
Tengku Elman melepaskan keluhan kecil. Dia kembali menyambung tugasnya mengelap meja.

HI, dear.”
Tengku Elman pantas menoleh. Kelibat Azlina menghentikan pergerakan Tengku Elman.
So, how’s bussiness?” soal Azlina seraya duduk di kerusi yang berada di kaunter bar. Tas tangan diletakkan di kerusi di sebelahnya. Pagi itu, Azlina kelihatan ayu mengenakan blaus oren dan seluar slek.
Tengku Elman turut duduk di sebelah Azlina. “Not bad.”
Good to hear that.” Azlina mengukir senyuman.
Eh, by the way. For you.” Azlina menghulurkan satu iklan kepada Tengku Elman.
Tengku Elman memandang iklan itu kosong. “Apa ni?”
“Ni ekspo kawan I. Dia nak adakan satu pameran gambar dengan PWTC nanti. Kalau gambar you menarik perhatian you boleh jadi jurugambar untuk company tu. You nak join?” soal Azlina.
“Maksud you, macam pertandingan?” soal Tengku Elman.
Azlina mengangguk laju.
Tengku Elman menghela nafas panjang. “I tak rasa I berminat untuk join ekspo ni.”
“Tapi kenapa? Ni kan minat you?” Azlina cuba memujuk. Dia tahu akan minat Tengku Elman yang satu itu.
“Malaslah. I dah lama tinggalkan semua ni. I just don’t wish to continue anymore.” Tengku Elman bangun daripada duduknya. “Semua ni sia-sia.”
Hey, what’s up?” Naim baru sahaja selesai mengambil pesanan daripada pelanggannya. Sebaik sahaja menyerahkan pesanan itu kepada pekerjanya, dia terus menyertai mereka berdua.
“Kenapa tu?” soal Naim tatkala Tengu Elman bertindak meninggalkan Azlina.
“Apa ni?” soal Naim lagi tanpa menunggu Azlina menjawab. Kertas promosi yang Azlina tunjukkan kepada Tengku Elman dilihatnya. “Ekspo gambar?”
Azlina mengangguk.
No wonder muka dia macam tu!” Naim melepaskan keluhan kecil.
“Kenapa?” Dahi Azlina berkerut. “Kenapa dengan iklan ni?”
Naim tersenyum nipis. “Elman takkan join ekspo. He really hates this thing. Benda nilah yang buatkan dia kantoi dengan atuk dia.”
Naim mengetap bibirnya. Dia sudah terlanjur bercakap. Sepatutnya itu adalah rahsia Tengku Elman dan dirinya. Peristiwa dua tahun lalu itu membuatkan Tengku Elman jadi begitu. Naim dan Tengku Elman tidak pernah menceritakan peristiwa itu kepada Azlina walaupun mereka sudah lama kenal. Azlina bukan pandai simpan rahsia.
“Apa yang berlaku?” soal Azlina, ingin tahu.
Nothing.” Naim cepat-cepat membalas. Azlina tak boleh tahu.
Azlina mengetap bibir. “I cuma nak tolong dia. Tak sangka hal akan jadi macam ni.”
“Alah, benda kecil aje, Az. He’s gonna be fine. Trust me.” Naim cuba menjernihkan keadaan. “Hurm, ekspo ni pasal apa?”
Well, ekspo ni lebih kepada pameran tentang alam. You hanya hantar gambar untuk pameran ni dan pameran ni anjuran Emerald Empire. Mereka nak cari jurugambar tetap. Jadi, melalui ekspo ni mereka akan pilih yang terbaik.”
“Maksudnya macam pertandingan?” Naim meminta kepastian.
Sort of.”
Naim mengetap bibir. Ada sesuatu yang bermain dalam mindanya.
By the way, I akan fly ke Tokyo. Nak kirim apa-apa?” tawar Azlina. Tugasnya sebagai pramugari memang membuatkan dia akan selalu terbang ke luar negara.
Naim sekadar menggeleng. Dia akui Azlina memang pandai mencari mata pencarian. Sudahlah gajinya di IZ Holdings mencecah ribuan ringgit, ditambah lagi dengan gajinya sebagai pramugari untuk syarikat penerbangan yang agak terkenal di Malaysia. Membuatkan Azlina boleh bermewah pada usia muda.

 Bersambung: 

No comments :

Post a Comment

>dah baca jangan lupa komen ya...
hope kengkawan suka dengan n3 nie...
komen dari kalian sedikit sebanyak memberi semangat untuk Hana terus post lagi<