Followers

Sunday, August 2, 2015

VERSI CINTA KITA - BAB 2



Mempersembahkan Bab 2 Versi Cinta Kita: 




KEDUA-DUA gadis itu mengambil keputusan untuk bersiar-siar di Taman Himpunan Bunga. Taman yang dilengkapi dengan pelbagai jenis bunga ros itu menambahkan lagi keseriannya. Mereka berjalan beriringan di laluan berbumbung yang disediakan khas untuk bersiar-siar. Laluan itu kelihatan indah dihiasi dengan tumbuh-tumbuhan yang tumbuh melingkari tiang-tiang tersebut.
Tini mengikut mereka dari belakang. Sekali-sekala dia bersuara untuk memperkenalkan bahagian rumah.
“Dah berapa lama awak kerja kat sini?” soal Aniqah. Padanya, gadis itu masih terlalu muda untuk bekerja sebagai seorang pembantu rumah.
Tini hanya mengukir senyuman. Dia pasti kedua-dua gadis di hadapannya itu tidak percaya dia bekerja di situ.
“Boleh tak kalau awak berhenti senyum?” pinta Aniqah. Dia tidak suka dengan senyuman Tini. Padanya, senyuman Tini mempunyai maksud tersirat.
“Lebih baik awak jawab soalan dia, Tini. Kalau tak, ada yang kena sembur nanti,” maklum Iryani. Senyuman menghiasi bibirnya sehingga menampakkan lesung pipit.
“Saya sebenarnya tolong mak saya aje. Kebetulan, sekarang cuti sem,” balas Tini. Tini menoleh ke arah Iryani. Ada sesuatu yang ingin dipastikan.
“Saya nak tanya sesuatu, boleh?” pinta Tini.
“Apa dia?” Aniqah mengerutkan dahinya.
“Betul ke Cik Iry buta?” soal Tini tidak beralas.
Riak muka Iryani bertukar. Aniqah terdiam mendengar soalan Tini.
Melihatkan perubahan riak muka Iryani, Tini terus memohon maaf atas keterlanjurannya. “Maaf, saya patut diam aje tadi. Inilah akibatnya bila saya mula bercakap.”
Tini mengetap bibirnya. Selama ini pun, dia lebih banyak berdiam diri. Sikapnya yang terlalu ingin tahu dan jujur membuatkan dirinya sering dipinggirkan rakan-rakannya. Pernah suatu ketika, kerana ingin mendapatkan kawan di universitinya, dia membongkarkan rahsia tempat tinggalnya hinggakan rakan-rakannya mula merendah-rendahkan dirinya kerana lahir sebagai anak seorang pembantu rumah. Lantaran itu, dia mula berubah sikap. Tini khuatir jika dia bersifat terbuka lagi, dia bakal terluka lagi.
“Eh, tak apalah. Memang saya buta pun. Awak tak perlu rasa bersalah pun. By the way, nama saya Iryani. Dan ini, Aniqah. Selamat berkenalan.” Iryani menghulurkan tangannya merentasi Tini dan Aniqah.
Aniqah tersenyum. Tangan Iryani dibawa ke arah Tini lalu dicantumkan.
Tini teragak-agak mahu menyambutnya. Anggukan daripada Aniqah membuatkan Tini menyambut huluran tersebut.
“Tini, umur awak berapa?” soal Aniqah, ingin tahu. “Awak belajar dekat mana?”
“Kenapa Cik Aniqah nak tahu ya?” Tini menyoal kembali.
“Tak payah panggil saya Cik, Tini. Panggil saya Aniqah aje.” Aniqah segan bila ada gelaran Cik di hadapan namanya, walhal dia bukanlah kaya mana pun untuk ada apa-apa gelaran.
“Tak boleh. Sebagai seorang pekerja dekat vila ni, memang kami diwajibkan gunakan gelaran yang ada di hadapan nama.”
Iryani dan Aniqah mengangguk laju.
 “Jadi, umur kamu berapa Tini? Belajar dekat mana?”
Tini tersenyum manis. “Umur saya 22 tahun. Saya belajar lagi. Dekat TASB under biasiswa. Freshie lagi. Baru dua semester.”
“Ooo...” Mulut Iryani dan Aniqah membentuk huruf ‘o’.
“Eh, awak kata awak belajar di mana tadi?” soal Iryani.
“TASB.”
“Tengku Azimudin Schools of Bussiness?” Iryani mahukan kepastian.
Tini pantas mengangguk. Namun, anggukannya terhenti. Dia terlupa Iryani tidak dapat melihat anggukannya. “Ya. Kolej milik Tengku Azimudin. Kenapa?”
“Kalau tak silap saya, saya pun akan ke kolej tu,” suara Iryani. Semasa makan malam semalam, Tengku Azimudin ada sebutkan tentang perkara tersebut.
Tini senyum manis. “Haah. Saya ada dengar dekat meja makan semalam. Kita memang satu kolej tapi Cik Iryani istimewa. Mungkin tak akan lama pun dekat TASB sebab kalau tak silap saya, abah kata Tengku Azimudin akan pendekkan kos yang tiga tahun jadi setahun setengah hanya untuk Cik Iryani. Tengku Azimudin mahu Cik Iryani kuasai semua tentang perniagaan dengan segera supaya Cik Iryani cepat-cepat dapat warisi IZ Holdings.”
Muka Iryani berubah pucat. Macam berat betul bebanan yang akan diterimanya.
“Sebab tu, Tengku Azimudin sediakan private tutor untuk Cik Iryani. Senang. Belajar dekat rumah aje. Lagipun, selamat. Tak adalah kena bergaul dengan anak-anak orang kaya dan kurang adab di TASB. Lebih-lebih lagi, dengan keadaan Cik Iryani yang berbeza dengan mereka. Mahu jadi bahan gurauan nanti,” sambung Tini. Dia sudah masak dengan pelajar-pelajar di TASB itu yang sangat memandang kelas antara mereka. Sekolah elit itu dibahagikan kepada tiga jenis kelas. Kelas pertama, adalah golongan anak-anak bangsawan dan berpangkat sementara kelas kedua, merupakan anak-anak dari golongan berada, yang mana ibu bapanya merupakan ahli perniagaan dan orang yang berpengaruh. Kelas ketiga pula merupakan golongan miskin yang masuk ke kolej elit itu menggunakan nama biasiswa seperti Tini.
Iryani melepaskan keluhan kasar. Mampu ke dia harungi semua itu?
“Cik Iryani, jangan risau. Cik Iryani genius. Mesti boleh punya.” Tini cuba memberi sokongan. Dia pernah mencuri dengar perbualan antara Pak Cik Osman dan Tengku Azimudin. Dimana di dalam perbualan itu, Tengku Azimudin sangat yakin Iryani boleh melakukannya memandangkan Iryani seorang yang bijak.
“Oh ya, Tini. Tengku memang tinggal seorang aje ke?” soal Aniqah. Aniqah cuba mengalih topik perbualan. Dia sedar akan perubahan reaksi di wajah Iryani. Aniqah tidak mahu Iryani tertekan kerana terlalu memikirkan soal itu.
Tambahan pula, dia teringin untuk tahu. Mana tidaknya, selepas jamuan malam tadi, tiada langsung kelibat orang lain di vila itu. Lebih-lebih lagi setelah sarapan sebentar tadi. Hanya Mak Kiah, Pak Cik Osman, Tengku Azimudin, Tini dan mereka berdua sahaja yang ada. Kelibat Tengku Izudin, Puan Sri Halimah dan Tengku Aryan langsung tidak kelihatan.
“Taklah. Tengku tinggal dengan cucu Tengku, Tengku Elman namanya. Tengku Elman sepatutnya ada malam semalam tapi entah kenapa dia tak ada pula,” ujar Tini. Mereka meneruskan perjalanan ke gazebo yang ada di taman itu.
“Habis tu, yang lain tinggal dekat mana?” soal Iryani, ingin tahu.
“Mereka tinggal di luar. Kadangkala mereka akan ke sini untuk jenguk Tengku Azimudin. Seminggu sekali.”
“Oh, termasuk Tengku Aryan?” soal Aniqah, ingin tahu.
“Aik, Aniq. Awak dah jatuh minat dekat anak Tengku tu ke?” usik Iryani.
“Eh, taklah. Hanya tanya, takkan itu pun tak boleh.” Aniqah menahan malu. Niatnya sekadar ingin bertanya, tak sangka pula Iryani dan Tini salah faham.
“Tak salah pun. Lagipun, memang ramai yang minat Tengku Aryan tu. Tapi biasalah, bila dah namanya anak orang kaya, mestilah memilih sikit. Tak gitu?” Tini berpendapat.
Aniqah dan Iryani mengangguk. Mereka mengakui kata-kata Tini.
“Dahlah. Jom kita masuk. Dah lewat ni. Saya kena bantu mak saya di dapur pulak,” ajak Tini. Matahari yang hampir berada di puncak itu membuatkan dia tersedar akan waktu ketika itu.

MEREKA sempat bergurauan dalam perjalanan kembali ke ruang tamu. Namun, tawa mereka terus mati saat Iryani berlanggar dengan seseorang. Iryani hilang keseimbangan lalu jatuh terduduk. Tini pula terdiam bila melihat orang yang dilanggar Iryani.
“Astaghfirullah-al-azim.” Iryani beristighfar.
Belakang badannya yang jatuh mencium lantai digosok. Bisa sakitnya terasa mencucuk tulang. Sudah. Aku langgar siapa pula ni? getus hati kecil Iryani.
“Woi, buta ke?” herdik lelaki yang melanggarnya. Lelaki itu turut jatuh terduduk seperti Iryani.
Iryani tersentak apabila disergah seperti itu. Mukanya bertukar pucat.
“Woi, cakap elok-elok sikit boleh tak? Tak payahlah nak tengking-tengking.” Aniqah yang berada di tepi mula berang. Dia segera membangunkan Iryani. Tangan Iryani laju mengibas-ngibas tanah yang melekat di seluarnya.
“Eh, kau orang ni siapa? Dahlah masuk rumah orang. Lepas tu, ada hati nak tengking aku,” herdik Tengku Elman. Wajah dua insan di hadapannya itu tidak pernah dilihatnya sebelum ni.
“Tini, siapa mereka ni?” Pandangannya berkalih ke arah Tini.
“Mereka...” Tergagap-gagap Tini ingin bersuara.
“Tengku Elman.”
Panggilan seseorang dari arah belakang Tengku Elman membuatkan Tengku Elman melepaskan keluhan kecil.
“Abah.” Tini menjerit kecil setelah matanya menangkap kelibat Pak Cik Osman. Dia berlari-lari anak mendapatkan ayahnya lalu bersembunyi di belakang lelaki tua itu.
“Mereka ni akan tinggal di sini bersama kita, Tengku,” tutur Pak Cik Osman, lembut. Wajah cucu tuannya itu diperhatikan silih berganti dengan anak perempuannya, Hartini.
“Apa?” Tengku Elman benar-benar terperanjat mendengar perkhabaran itu. “Siapa yang benarkan?”
“Kalau Tengku nak tahu cerita sebenar, lebih baik Tengku berjumpa sendiri dengan Tengku Azimudin.” Pak Cik Osman menyuarakan pendapatnya. Hanya Tengku Azimudin yang tahu sebab-musababnya Iryani tinggal di vila itu.
Tengku Elman terdiam mendengar Pak Cik Osman menyebut nama datuknya. Mahu tak mahu, dia harus berjumpa dengan Tengku Azimudin untuk mendapatkan penjelasan. Dia benar-benar terkilan diperlakukan sebegitu sedangkan dia juga salah seorang penghuni di vila itu. Kalau dia tahu, dia akan tinggal bersama dua orang asing itu, pastinya dia takkan setuju untuk pulang ke Vila Indah. Tanpa berlengah, Tengku Elman terus mengorak langkah ke bilik bacaan Tengku Azimudin. Dia tahu pasti datuknya itu ada di situ.

TENGKU AZIMUDIN tersenyum melihat adegan itu dari tingkap biliknya. Dia gembira melihat Tengku Elman sudah bertemu dengan Iryani. Biarpun pertemuan itu bermula dengan perlanggaran, dia benar-benar berharap agar kedua-duanya dapat berbaik-baik.
Ketukan dari luar pintu bilik bacaannya membuatkan Tengku Azimudin kembali ke kerusinya.
“Masuk,” ujar Tengku Azimudin sebaik sahaja dia duduk di kerusi di meja bacaan itu.
“Apa maksud Pak Cik Osman mereka akan tinggal di sini?” Meluru Tengku Elman menyoal sebaik sahaja tombol pintu dipulasnya.
“Waalaikumussalam.” Tidak semena-mena Tengku Azimudin menjawab salam.
Tengku Elman mengetap bibir. Malu atas keterlanjurannya sehingga lupa memberi salam.
“Ada apa Elman datang jumpa atuk?” Tengku Azimudin berpura-pura tidak tahu. Walhal, dia sudah jelas dengan tujuan cucunya itu.
“Atas sebab apa dia akan tinggal dekat rumah ni? Elman ingat Elman aje yang duduk kat rumah ni.”
“Cuba duduk dulu,” pelawa Tengku Azimudin. Serabut pula fikirannya melihat Tengku Elman berdiri di hadapannya.
Tengku Elman mengambil tempat duduk di hadapan Tengku Azimudin. Dia menarik nafas sebelum meneruskan soalannya. “Siapa mereka?”
“Cucu,” jawab Tengku Azimudin, sepatah.
Mata Tengku Elman terus terbeliak. “Cucu? Takkanlah?”
Yup. She is.” Anggukan daripada Tengku Azimudin membuatkan Tengku Elman tersandar di kerusi.
So, how is she?” Tenang Tengku Azimudin menyoal. Riak muka Tengku Elman sudah dapat dijangka.
Are you crazy? Perempuan kampung yang jalan macam tak ada mata tu, my fiancee?” Tengku Elman bangun daripada duduknya. Dia berjalan ke hulu dan ke hilir. “No way.”
Yes way. Cuba Elman kenal dulu dia macam mana. Dia taklah seperti yang Elman fikirkan. Lagipun, atuk suka dia. Dia tu baik orangnya. Sopan. Manis.” Tengku Azimudin memberi pandangan sekali gus memuji Iryani.
Tengku Elman mencebik mendengar pujian Tengku Azimudin yang meninggi itu. “Kalau atuk suka dia, kenapa atuk tak kahwin aje dengan dia?” Suara Tengku Elman mulai meninggi.
“Kenapa pulak atuk yang kena kahwin dengan dia? Yang atuk nak, kamu kahwin dengan dia,” sambung Tengku Azimudin.
“Argh... ni semua kerja gila. Elman tak pernah setuju dan takkan setuju.” Tengku Elman memberikan kata putus. Sejurus itu, pintu bilik bacaan itu terus berdentum.
Tengku Azimudin mengukir senyuman penuh makna. Dia kenal perangai cucunya itu. Setuju ataupun tidak, rancangannya pasti berjalan.

TENGKU ELMAN menghempas pintu bilik dengan kasar. Setelah itu, terus dia menolak semua buku yang berada di atas meja tulisnya. Tidak cukup dengan itu, habis bantal dan selimut di atas katil miliknya dicampak ke lantai. Akhirnya, dia terduduk di hujung katil sambil meraup mukanya. Kata-kata datuknya sebentar tadi memang tidak masuk akal.
Ada ke patut aku ditunangkan dengan seorang perempuan kampung yang tak ada mata bila berjalan tu. Gila ke apa? gerutu Tengku Elman.
Tengku Elman mencapai tuala di birai katil. Dia harus meredakan kemarahan dalam hatinya. Tambahan pula, semalaman berada di luar membuatkan dia kurang selesa dengan keadaan dirinya. Dia berharap agar kemarahannya reda selepas berendam lama nanti.
Tengku Elman terus menuju ke bilik air.

Niat mereka untuk membantu Mak Kiah dan Tini terbantut saat Aniqah mengaduh sakit perut. Tanpa berlengah, terus saja Aniqah ke bilik air meninggalkan Iryani di dapur. Iryani jadi tidak keruan. Dia seperti kehilangan tempat bergantung tanpa Aniqah di sisinya lantas dia turut meminta diri untuk pulang ke bilik.
Iryani memberanikan dirinya untuk pulang ke bilik. Tangannya segera berpaut pada dinding. Ketiadaan tongkatnya membuatkan dia lebih berhati-hati. Tanpa tongkatnya, dia tidak dapat mengagak apa yang berada di hadapannya. Iryani menapak tangga menuju ke biliknya. Sesekali kakinya tergeliat akibat tersalah langkah. Mujur saja dia berpaut kuat pada tiang tangga. Jika tidak, mahu tergolek dirinya jatuh ke bawah.
Iryani menarik nafas lega saat melangkah anak tangga terakhir. Akhirnya, berjaya juga dia kembali ke biliknya tanpa bergantung kepada orang lain. Senyuman terukir di bibirnya. Iryani terus sahaja masuk ke dalam biliknya. Pintu bilik yang terbuka itu langsung tidak menimbulkan rasa curiga. Isy, Aniq ni. Kut ya pun sakit perut, tutuplah dulu pintu bilik, omelnya sendirian.
Belum sempat kakinya melangkah jauh, Iryani terjatuh akibat tersadung sesuatu. Iryani mengaduh kesakitan. Dia teraba-raba mencari punca dirinya terjatuh. Sebuah benda bersegi empat lembut berada di tangannya.
“Bantal?” Berkerut dahinya seketika.
“Woi, kau buat apa kat sini?”
Sergahan daripada seseorang membuatkan jantung Iryani terasa bagaikan hendak gugur. Dia terkaku di situ. Iryani terus menjerit sekuat hatinya.


p/s: Hana dah upload bab 2, so far macam mana? okey tak? any komen? hihi...nantikan kemunculannya dalam versi cetak september ini ya...^^, 





No comments :

Post a Comment

>dah baca jangan lupa komen ya...
hope kengkawan suka dengan n3 nie...
komen dari kalian sedikit sebanyak memberi semangat untuk Hana terus post lagi<