Followers

Friday, July 31, 2015

Bakal Terbit : Love Is aka Versi Cinta Kita Bab 1





Alhamdulillah, akhirnya manuskrip Love Is dah diterima untuk diterbitkan. Rasa bersyukur sangat sebab diberi peluang untuk terbit. My first baby ever. Kata penerbit, Love Is akan diterbitkan pada bulan September di bawah Penerbitan Fajar Pakeer. Sekarang pun, kami in the midst of editing dan memperbetulkan apa yang patut. Maklumlah, Hana ni masih baru lagi dalam bidang ni. Banyak nak kena betulkan dan jika tiada aral bertemu lah kawan-kawan dengan Love Is bulan September nanti. 

Oh ya. Penerbit dan Editor request tajuk baru. Jadi, satu senarai yang panjang dah Hana berikan pada editor dan akhirnya mereka sepakat untuk menukarkan tajuk Love Is kepada Versi Cinta Kita. Sedap tak nama baru Love Is? Suka tajuk tu...^^, hihi.... Cover VCK masih belum ada. Nanti bila dah keluar, Hana war war kan ya...

Okaylah. Untuk pembaca setia dan pembaca baru karya Hana... selamat datang Hana ucapkan. Jadi, sempena hari yang baik dan malam yang indah ini. Hana hadiahkan Bab 1 Versi Cinta Kita. Selamat membaca semua...^^, 

_________________________________________________________________________

BAB 1


MATANYA tidak berkelip melihat vila putih yang berada di hadapannya. Tangannya kejap memegang tangan sahabatnya, Iryani. Kejapan tangannya sudah cukup membuatkan gadis buta di sebelahnya tahu isi hatinya.
Iryani menarik nafas panjang. Hatinya mula ragu-ragu dengan keputusan yang diambil. Pelbagai persoalan mula bermain dalam mindanya.
“Awak dah sedia, Iry?”
Soalan Aniqah membuatkan Iryani tersentak. Iryani segera mengangguk. Dia harus melindungi perasaan gusarnya daripada Aniqah. Dia tahu Aniqah pasti akan memaksanya kembali ke kampung jika Aniqah tahu kegusaran yang melanda hatinya. Salah dirinya juga kerana bersetuju ke vila itu dan salahnya juga kerana memaksa Aniqah ke vila itu sedangkan tidak lama lagi, gadis berkaca mata itu akan pulang ke Poland untuk meneruskan pengajiannya dalam bidang perubatan.
“Saya tekan loceng, ya?” Aniqah meminta persetujuan. Dia tahu Iryani sedang menyembunyikan kebimbangannya.
Iryani pantas mengangguk. Dia harus berani. Saat dia bersetuju dengan cadangan ayahnya, dia tahu saat itu dia tidak boleh berpatah balik.
Aniqah menekan loceng pintu vila itu. Selang beberapa minit, kelihatan seorang gadis berpakaian putih dan berapron hitam menghampiri pintu pagar. Serentak itu, pintu pagar kecil itu terbuka. Gadis itu menyambut mereka dengan senyuman manis.

CIK, sila duduk. Saya panggilkan Tengku Azimudin sekejap,” ujar Tini, gadis yang lengkap berpakaian pembantu itu. Gadis itu mengukir senyuman manis ke arah mereka berdua.
Iryani mengangguk tanda mengerti. Aniqah pula tidak menunjukkan sebarang reaksi. Dia leka melihat keindahan dalam vila itu. Vila Indah itu benar-benar kelihatan ekskulif. Candelier yang tergantung di tengah-tengah ruang tamu itu kelihatan megah menyinarkan cahayanya.
Iryani menggenggam erat kedua-dua tangannya. Hatinya berdebar hebat. Biarpun dia tidak dapat melihat, hatinya tetap berasa tidak tenang.
“Maaf kerana terpaksa menunggu.”
Sapaan seseorang membantutkan lamunan mereka berdua. Iryani tersentak seketika. Jantungnya terasa bagaikan mahu gugur.
Aniqah mengalihkan pandangannya ke arah suara itu. Kelihatan seorang lelaki pertengahan 60-an sedang menuruni tangga dan menuju ke arah mereka.
“Assalamualaikum, Tengku,” ucap Aniqah.
Iryani turut ikut mengucapkan salam.
Tengku Azimudin tersenyum seraya menjawab salam mereka. Kemudian, lelaki itu mengambil tempat di hadapan mereka. Wajah Iryani dan Aniqah dipandang silih berganti.
“Macam mana perjalanan?” Tengku Azimudin membuka perbualan.
Aniqah memandang Iryani sekilas. Sahabatnya itu hanya mendiamkan diri. Dia dapat mengagak perasaan Iryani kala itu.
“Semuanya okey, Tengku. Tak ada masalah.” Aniqah pula yang menjawab bagi pihak Iryani.
“Iryani, macam tak suka aje datang rumah atuk.” Tengku Azimudin membuat telahan. Tingkah Iryani yang hanya mendiamkan diri itu mendorongnya membuat telahan sedemikian.
“Eh, bukan. Cuma...” Cepat-cepat Iryani menepis andaian itu.
“Cuma kenapa? Iryani rasa tak selesa ke?” Tengku Azimudin terus menyoal Iryani. Dia tidak mahu cucu angkatnya itu berasa kekok mahupun tidak selesa di kediamannya.
Iryani jadi serba salah. “Sebenarnya, Tengku...”
“Iryani, tak payahlah nak bertengku-tengku dengan atuk. Anggap atuk ni macam atuk kamu. Keluarga atuk, keluarga kamu jugak. Atuk nak kamu selesa sepanjang kamu duduk di sini,” pinta Tengku Azimudin.
Wajah Iryani dipandangnya lama. Wajah itu benar-benar mengingatkan dirinya kepada arwah sahabatnya, Daud, datuk Iryani, sekali gus mengingatkan dirinya pada kesilapannya.
“Sebenarnya, Tengku... err... atuk... Iryani tak tahu macam mana nak cakap. Iryani datang cuma nak beritahu atuk yang Iryani tak mungkin akan dapat jadi seperti yang atuk nak sebab Iryani bukan seorang yang berpelajaran dan...” Iryani berterus terang.
“Berpelajaran ataupun tidak, itu bukan ukurannya. Bila atuk buat tawaran tu, atuk dah pun fikir masak-masak.” Tengku Azimudin menyatakan pendiriannya.
“Dahlah. Atuk rasa mesti Iryani dan Aniqah dah penat. Seharian dalam bas. Bukannya dekat Kuantan dengan KL ni. Apa kata Iryani dan Aniqah berehat dulu. Malam ni, lepas selesai semua kita bincang lagi, ya?”
Iryani mengangguk perlahan. Dia terpaksa akur dengan kata-kata lelaki di hadapannya itu.
“Tini, kamu bawa mereka berdua ke bilik dan sediakan sepersalinan untuk mereka. Kemudian, kamu tolong panggilkan Pak Cik Osman untuk saya,” ujar Tengku Azimudin kepada pembantu rumahnya.
Gadis berusia dalam lingkungan 21 tahun itu pantas mengangguk. Dia kemudiannya membawa Iryani dan Aniqah ke bilik yang telah disediakan.

TINI mengeluarkan sepersalinan pakaian untuk mereka berdua dari almari yang tersedia. Tengku Azimudin sudah menyediakan segala keperluan untuk mereka sepanjang mereka berada di situ.
Aniqah sekali lagi ternganga melihat keadaan bilik tersebut. Bilik itu terlalu luas untuk dihuni mereka berdua. Bilik sebesar ruang tamu rumahnya itu begitu lengkap dengan segala keperluan. Malah, bilik tersebut juga turut mengandungi ruangan bacaan dan ruangan menonton televisyen. Dan yang lebih membuatkan Aniqah kagum, satu set sofa kulit turut diletakkan di ruangan menonton televisyen.
Tini tersenyum melihat reaksi Aniqah. Baju di tangannya diletakkan di meja kecil di sisi katil.
“Ini bilik atau ruang tamu sebenarnya?” Laju soalan itu terpacul dari mulut Aniqah.
Tini tertawa kecil mendengar soalan Aniqah. Aniqah mengerutkan dahinya.
“Macam yang awak tahu, ini bilik awak berdua. Kalau nak apa-apa, awak boleh panggil saya. Dan ini pakaian awak untuk malam ni. Makan malam akan disediakan pada 8.00 malam setiap hari.’’ Petah Tini memberitahu. Usai tugasnya, dia terus berlalu.
“Aniq, saya rasa takutlah,” suara Iryani sebaik sahaja Tini keluar dari bilik itu. Bunyi kasut tinggi menghentak lantai yang semakin menjauh cukup untuk meyakinkan Iryani bahawa Tini sudah keluar dari bilik itu.
Aniqah segera menoleh. Dia melangkah mendekati Iryani lalu duduk di sebelahnya. Bahu Iryani diraih ke dalam pelukan.
“Saya takut saya tak mampu nak jalankan tugas saya. Saya betul-betul nak melihat semula tapi saya terlalu takut untuk...” Tidak putus-putus Iryani melahirkan rasa takutnya.
“Iry, jangan risau. Saya akan sentiasa ada dengan awak. Insya-Allah, awak akan okey kat sini.” Aniqah meniupkan buah fikiran positif.
Dia tahu Iryani sedang menyesali keputusannya sendiri. Perlahan-lahan, perbualan antara ibu bapa Iryani dan Iryani yang dia saksikan sendiri kembali bermain di mindanya.

PERLU ke Yani pergi?” Berkali-kali Iryani bertanyakan soalan sama.
Puan Bainon hanya diam. Dia tidak mampu lagi untuk berkata-kata.
“Yani, syarikat tu milik atuk. Nak tak nak, Yani kena mewarisi syarikat tu.” Encik Ikmal tidak jemu-jemu memujuk Iryani.
“Sebab hanya Yani pewaris yang sah untuk harta arwah atuk sekarang ni. Nak harapkan ayah? Jauh sekali,” pujuk Encik Ikmal. Dia cuma mahukan yang terbaik untuk Iryani.
Pelupuk mata Puan Bainon semakin memberat dengan air mata tatkala mendengar ayat tersebut. Dia terus melarikan diri ke bilik saat air matanya tidak dapat dibendung lagi. Jujurnya, dia tidak sanggup berpisah dengan satu-satunya anak gadis yang dimilikinya. Malah, dengan kekurangan Iryani membuatkan dia benar-benar berat hati.
“Dengan cara ni aje Yani akan dapat melihat balik. Yani tak teringin ke nak tengok balik? Tengok muka ayah, muka ibu?” soal Encik Ikmal.
Mata anaknya ditenung tanpa berkelip. Harapannya kini cuma satu. Dia cuma inginkan anak perempuannya itu dapat melihat kembali agar seandainya suatu hari nanti, jika maut menjemput dirinya dan isterinya, Iryani boleh berdikari. Malah, demi Iryani, dia sanggup lupakan semua dendamnya dengan keluarga itu.
Iryani terdiam mendengar kata-kata ayahnya. Kata ayahnya itu ada betulnya. Dia memang benar-benar ingin melihat kembali. Melihat ayah, ibu dan Aniqah. Dan yang paling penting, pasti dia tidak akan lagi menyusahkan ibu bapanya dan Aniqah. Namun, dia masih ragu-ragu dengan permintaan ayahnya.

IRY? Iry, bangun. Mandi sayang,” kejut Aniqah. Kaki kanan Iryani dipukul perlahan. Sempat matanya mengerling keadaan ke luar tingkap. Matahari sudah mula menyembunyikan dirinya.
Iryani membuka matanya. Saat matanya dibuka, perasaan hampa pasti akan menyelubunginya. Sejak kebelakangan ini, entah kenapa, dia sentiasa berharap setiap kali matanya terbuka, dia dapat melihat kembali.
“Pergi mandi. Saya dah siapkan air panas untuk awak. Best sangat. Untung awak dapat tinggal kat sini.” Sempat Aniqah berseloroh. Rambutnya yang basah dikesat dengan tuala. “Tuala awak pun saya dah letakkan dekat kiri tab. Tab tu, tiga langkah sebelah kiri lepas awak masuk. Saya nak pakai baju dulu.”
Iryani tersenyum. Aniqah begitu memahaminya. Dia bersyukur kerana mempunyai sahabat seperti Aniqah. Tak dapat dia bayangkan bagaimana hidupnya tanpa Aniqah di sisinya saat itu. Saat dimana dia berada di satu kawasan yang sangat asing.
Iryani disahkan buta ketika dia berada di dalam Tingkatan 5. Pada masa itu, dia baru sahaja selesai menduduki kertas peperiksaan SPM. Pada mulanya, memang sukar untuk Iryani meneruskan kehidupannya sebagai pelajar kelainan upaya. Namun, berbekal tekad yang ada, dia tetap meneruskan pengajiannya di sekolah biasa. Mujur saja sekolahnya memang menyediakan kelas untuk orang kelainan upaya.
Di Kuantan, hanya sekolah harian itu sahaja yang mempunyai kelas pendidikan khas. Mereka akan menghadiri kelas seperti pelajar normal cumanya, waktu rehat mereka dan silibus pembelajaran mereka sedikit berbeza.
Iryani meneruskan pembelajarannya ke peringkat STPM setelah mendapat keputusan yang cemerlang untuk SPM. Semasa di Tingkatan 6, Iryani mengenali Aniqah. Iryani tidak pernah melihat wajah Aniqah. Hal ini kerana, Aniqah merupakan pelajar baru di sekolahnya pada masa mereka berkenalan. Sepanjang perkenalan mereka, Aniqah banyak membantu Iryani. Walaubagaimanapun, bila mendapat tahu bahawa Aniqah akan melanjutkan pelajarannya ke Poland dalam bidang perubatan, Iryani dilanda kemurungan. Iryani bagaikan hilang tongkatnya.
Tambah lagi bila dia terpaksa berhadapan dengan persepsi masyarakat yang memang tak dapat diubah. Orang kelainan upaya seperti dirinya seolah-olah tidak layak memegang jawatan yang tinggi walaupun dia mendapat keputusan yang cemerlang di dalam STPM. Banyak kerja yang dimohonnya gagal. Kerja apa sahaja yang Iryani tidak pernah buat? Dia pernah bekerja macam-macam hinggalah akhirnya, dia ditawarkan untuk menjadi pekerja tetap di sebuah syarikat kecil sebagai seorang telefonis selama hampir tiga tahun setelah menganggur hampir setahun, hinggalah Tengku Azimudin datang memberikan tawaran itu.  Mujurlah, saat itu, Aniqah dalam cuti semester. Dapat juga Aniqah menemani dirinya sementara gadis itu masih bercuti.

SUASANA di Bowling Ampang Bowls, Mid Valley itu masih sibuk seperti tadi. Anak-anak muda masih sibuk berlibur tanpa mengendahkan waktu maghrib yang sudah kunjung tiba.
Tengku Elman membuka peti mesej di telefon bimbit miliknya. Senyumannya mati saat mesej itu dibaca.
“Mesej siapa?” soal Naim, sahabat baik Tengku Elman. Mereka saling mengenali semasa Tengku Elman mula-mula masuk ke TASB (Tengku Azimudin Schools of Busines) iaitu kolej persendirian milik datuk kepada Tengku Elman memandangkan mereka belajar dalam kelas yang sama. Naim bukanlah berasal dari keluarga yang susah namun kerana kebijaksaan dirinya, Tengku Azimudin tetap menawarkan biasiswa kepada Naim. Jejaka yang berusia 25 tahun itu setia menemani sahabatnya itu.
Azlina, teman sekampus yang kini merangkap pramugari dan model sambilan di syarikat datuknya, turut mengambil tempat di sebelah Tengku Elman. Azlina pula Tengku Elman kenal bukan di TASB sebaliknya dikenalinya melalui seorang kenalannya yang juga merupakan seorang model di IZ Holdings. Giliran Azlina menggolekkan bola boling baru sahaja tamat.
“Mesej siapa tu? Girlfriend?” Azlina serkap jarang. Dia yang sudah lama menyimpan hati kepada Tengku Elman itu mulai cemburu. Dia cemburu bila mengenangkan ada perempuan lain yang mendampingi Tengku Elman.
“Eh, tak adalah. Pandai-pandai aje kau orang ni. Dahlah pergi main. Turn you sekarang, kan?” Tengku Elman mengelak daripada menjawab soalan Azlina. Telefon bimbit miliknya dipadamkan lalu diletakkan di atas meja.
“Helo, sekarang ni turn you. Tulah, berangan aje tahu,” perli Azlina. Bibirnya sengaja dimuncungkan.
Naim tersengih di sebelah.
“Oh, ya ke? Turn I ke sekarang? Kenapalah you all ni tak cakap awal-awal?” Tengku Elman menggeleng kepala. Dia bangun dari tempatnya lalu menuju ke dataran boling.
“Elman tu, ada problem ke?” soal Azlina sebaik sahaja Tengku Elman menjauh daripada mereka. Air Mirinda Strawbery miliknya disedut. Matanya tidak lekang daripada memandang susuk tubuh Tengku Elman yang sedang menggolekkan bola boling.
“Entahlah, aku pun tak tahu.” Naim menjongketkan bahunya. Dia malas mahu berbicara dengan wanita itu. Minat Azlina kepada Tengku Elman membuatkan dia pening sebab setiap kali Azlina cari Tengku Elman, pasti dia yang akan jadi mangsa.
“Apalah you ni. I ingat you tahu. Apa punya bestfriend lah you ni!” Azlina menyalahkan Naim.
Naim mendengus kasar. Memanglah aku ni kawan baik dia tapi takkanlah sampai hal dalam kain pun aku kena ambil tahu? bebel Naim dalam hati. Leteran Azlina dibuat endah tak endah. Dia malas melayan leteran Azlina.
“Dahlah. Aku nak pergi tandas kejap. Nanti conti balik.” Naim bingkas bangun dari kerusinya lalu beredar ke tandas.
“Nak larilah tu,” serkap Azlina.
Dia segera mengeluarkan bedak compact miliknya lalu membelek mekap pada mukanya. Sempat dia membetulkan mekap pada wajah yang dirasakan semakin pudar. Dia mahu sentiasa berada dalam keadaan cantik. Dia tidak mahu paparazi menangkap gambar dalam keadaan tidak bermekap.
Deringan telefon bimbit milik Tengku Elman membuatkan Azlina tersentak. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Setelah pasti tiada yang melihat, tangannya pantas mencapai telefon bimbit Tengku Elman. Mesej yang diterima oleh Tengku Elman sebentar tadi mengundang cemburu di hatinya. Nama yang tertera pada skrin telefon bimbit Tengku Elman membuatkan Azlina mencebik. Pak Cik Osman!
Azlina mengerutkan dahinya. Orang tua ni nak apa pulak? desis hatinya. Dia bukannya tidak kenal dengan Pak Cik Osman. Pak Cik Osman merupakan pembantu peribadi Tengku Azimudin aka datuk kepada Tengku Elman. Azlina tahu, kalau Pak Cik Osman yang menelefon pasti ada sesuatu yang dia mahukan daripada Tengku Elman. Dan kalau Tengku Elman tahu mengenai panggilan ini, pasti Tengku Elman akan terus pergi meninggalkan mereka.
Azlina menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia tidak mahu Tengku Elman pergi. Dia mahu Tengku Elman menghabiskan masa bersamanya sampai ke malam. Tanpa berfikir panjang, Azlina segera mematikan panggilan tersebut. Setelah itu, dia menekan punat off. Serta-merta, telefon bimbit itu terpadam.

MAKANAN yang terhidang di meja makan Vila Indah itu benar-benar mengecurkan selera Aniqah. Tidak pernah dia dihidangkan dengan makanan sebanyak itu. Iryani jua turut tidak ketinggalan. Aroma makanan itu menusuk hidungnya sehingga membuatkan dia tidak sabar-sabar untuk menjamu selera.
“Osman?” Tengku Azimudin memanggil pembantunya, setelah lama berdiam diri.
Pak Cik Osman mendekati Tengku Azimudin dengan keadaan separa menunduk. Telinganya didekatkan dengan muka Tengku Azimudin.
“Elman mana?” bisik Tengku Azimudin.
Pak Cik Osman menggeleng. Puas sudah dia cuba menghubungi Tengku Elman, namun tidak berjaya. Panggilannya bukan sahaja dimatikan malah telefon bimbit Tengku Elman juga turut dimatikan. Hal ini kerana apabila Pak Cik Osman menelefon semula nombor Tengku Elman, panggilannya dialihkan ke peti suara.
“Abah, kita tunggu siapa lagi ni?” soal Puan Sri Halimah. Wanita berusia 45 tahun itu kelihatan anggun dengan baju kelawar moden berserta kerawang berkelip di lehernya.
Puan Sri Halimah mencapai gelas berkaki yang mengandungi jus buah-buahan. Disisipnya sedikit. Setelah itu, napkin yang teralas di atas pahanya diambil lalu bibirnya dikesat. Matanya mengerling dua gadis yang tidak dikenalinya di penjuru meja makan.
“Awak ni sabarlah sekejap. Kan Elman tak ada lagi.” Lelaki berkemeja biru bersarungkan kot hitam di sebelahnya menegur.
Puan Sri Halimah mencebik. Dia cukup tidak suka mendengar nama anak tirinya itu disebut-sebut. Lebih-lebih lagi bila mengenangkan Nazrin, ibu kandung Tengku Elman.
“Betul kata ayah tu, bonda. Apa salahnya kalau kita tunggu Elman kejap,” sokong lelaki yang segak berpakaian kemeja di sebelah bapanya. Dia juga turut melihat Iryani dan Aniqah.
Puan Sri Halimah menjengilkan matanya. Dia tidak suka suami dan anaknya membela Tengku Elman.
Tengku Aryan tertunduk. Dia tidak berani untuk melawan pandangan tajam ibunya.
“Maaf, Puan Sri, Tengku, atas kelewatan ni,” pohon Pak Cik Osman. Tangan kanannya sibuk menuangkan minuman di gelas-gelas yang telah kosong dan hampir kosong.
Tini turut membantu bapanya. Kekurangan kakitangan di kediaman itu menyebabkan Tini turun padang.
“Osman, kenapa kau pula yang kena minta maaf? Ini rumah aku. Biar aku yang tentukan bila jamuan ni nak mula,” tegas Tengku Azimudin. Hilang sudah perwatakannya yang ceria.
Pak Cik Osman menunduk sedikit, tanda maaf.
Tini pula terkaku seketika mendengar kata-kata Tengku Azimudin. Dia terperanjat mendengar suara Tengku Azimudin yang meninggi.
Puan Sri Halimah mencebik.
“Hurm, nampaknya Elman takkan munculkan diri.” Tengku Azimudin bersuara setelah lama berdiam diri. Wajahnya masih kelihatan serius.
“Sebelum kita mulakan majlis ini, eloklah kalau aku sampaikan sebab-musabab kenapa aku jemput kalian makan malam di sini...” Tengku Azimudin berjeda sebelum meneruskan kata-katanya. “Untuk pengetahuan semua, hari ini aku nak kenalkan seseorang pada kamu semua.”
“Aik, abah. Dah tua pun nak cari bini lagi ke?” sampuk Puan Sri Halimah seraya memerli. Wajah Tengku Azimudin dipandangnya.
“Halimah,” tegur Tengku Izudin. Wajah isterinya dipandang tajam.
Puan Sri Halimah terdiam. Renungan Tengku Izudin membuatkan dia senyap serta-merta.
“Kalau aku nak cari bini baru pun, apa yang kau nak kecohkan?” sindir Tengku Azimudin. Dia cukup tidak suka bila ada yang menyampuk bila dia bercakap, terutamanya menantu kesayangan arwah isterinya itu.
Iryani dan Aniqah hanya mendiamkan diri. Suasana tegang di meja makan itu membuatkan mereka tidak berani bersuara. Belum sampai sehari, mereka sudah dapat menilai kekeruhan hubungan itu sekeluarga.
Puan Sri Halimah mencebik. Jika diikutkan hatinya, dia tidak mahu menghadiri makan malam itu. Bukannya apa, dia tidak suka bertemu dengan Tengku Azimudin. Dia tahu Tengku Azimudin tak pernah suka akan dirinya. Jika bukan kerana arwah isteri Tengku Azimudin, dia tidak mungkin akan dapat mengahwini Tengku Izudin. Dia hadir malam itu pun hanya kerana ingin mengambil hati Tengku Azimudin.
“Aku nak kenalkan kalian dengan cucu angkat aku.”
“Kenapa pula abah nak ambil cucu angkat?” Puan Sri Halimah bangun dari kerusinya.
“Apa yang kau peduli. Duit aku. Suka hati akulah.” Tajam Tengku Azimudin menuturkan kata-katanya.
Puan Sri Halimah mencebik. Kata-kata Tengku Azimudin ada benarnya. Lagipun, dia tidak punya hak atas harta Tengku Azimudin memandangkan dia hanya bertaraf menantu di rumah itu. Puan Sri Halimah kembali duduk.
“Cucu angkat aku tu ada dekat sini. Iryani, bangun cu,” pinta Tengku Azimudin. Wajahnya kembali lembut tatkala melihat Iryani.
Iryani hanya menuruti. Dia bangun daripada duduknya lalu mengukir senyuman. Setelah itu, dia kembali duduk.
“Nama gadis ni Iryani. Dia akan tinggal dekat sini mulai hari ni. Hak dia, sama macam hak cucu-cucu aku yang lain. Dia berhak dan bebas buat apa sahaja yang dia mahu dekat vila ni. Aku juga akan masukkan dia ke TASB dan hantar dia ke London bila tiba masanya.” Tengku Azimudin meneruskan kata-katanya. Matanya ligat memerhatikan reaksi anak menantunya.
Puan Sri Halimah baru sahaja ingin membantah namun tingkahnya dihalang suaminya. Tengku Izudin menahan Puan Sri Halimah daripada bangun. Tindakannya itu mengundang ketidakpuasan Puan Sri Halimah.
Tengku Aryan melepaskan keluhan kecil. Kata-kata yang terzahir dari mulut Tengku Azimudin membuatkan rasa sesal bersarang dalam hati. Dia tersandar di kerusi.

PUAN SRI HALIMAH mencampakkan tas tangannya ke atas kerusi. Mulutnya masih tidak berhenti membebel. Dia benar-benar marah dengan keputusan bapa mertuanya.
“Abah awak tu memang sengaja nak buat saya marah, kan?” telah Puan Sri Halimah. Matanya tajam memandang Tengku Izudin.
“Kenapa pulak abah nak buat awak marah?” Tengku Izudin mengerutkan dahinya. Dia menanggalkan jam tangan lalu meletakkannya di atas meja solek.
“Kenapa awak kata? Awak tak dapat tangkap ke maksud abah awak tu?” Mata Puan Sri Halimah mencerlung marah. Tangannya ligat menanggalkan anting-antingnya.
“Baguslah kalau dia ambil cucu angkat. Ada juga yang nak menjaga dia. Nak harapkan si Aryan tu? Jangan haraplah sebab awak duk ke hulu ke hilir dengan budak tu. Nak harapkan si Elman tu? Lagilah tak boleh diharap.” Tengku Izudin melahirkan rasa kesalnya. Entah apalah yang dimahukan Tengku Elman. Suruh ini tak mahu buat, suruh itu tak mahu buat juga.
“Isy, geramlah saya bercakap dengan awak ni. Bapak dengan anak sama aje. Kalau tak carik pasal dengan saya, memang tak sah.” Puan Sri Halimah terus menghilangkan diri ke dalam bilik air. Dia sudah cukup marah dengan Tengku Azimudin, kini ditambah lagi dengan sikap suaminya.

Bersambung: 

Selamat membaca...^^, 

2 comments :

  1. hi hana. Saya da prh baca kt blog sblm nie. Dok tggu juga bila publish. Alhamdullillah Sept ni ye... InsyaAllah saya akan beli. Dah lama tggu tau.. Anyway congrats for ur 1st baby.

    ReplyDelete
    Replies
    1. alhamdulillah, Hana nervous sebenarnya dengan first baby ni..takut tak menepati kehendak pembaca...huhu...

      thank you..^^

      Delete

>dah baca jangan lupa komen ya...
hope kengkawan suka dengan n3 nie...
komen dari kalian sedikit sebanyak memberi semangat untuk Hana terus post lagi<