Followers

Thursday, December 29, 2011

Bread + Muffin = Pastry - Bab 1

BAB 1:

 
ISMA mempercepatkan langkah kakinya. Dia menggumam sendirian. Kalau ikutkan, sudah lama kek yang dimasaknya siap. Kalau bukan kerana perebutan oven antara dirinya dan seorang senior, sudah pasti dia akan dapat menghantar kek tersebut untuk penilaian. Dia tidak mahu lewat untuk penilaian keknya. Statusnya sebagai pelajar baru di kolej masakan itu membuatkan dirinya benar-benar bertimbang-rasa.  
           
Isma terus sahaja meluru ke pejabat Encik Hakim yang terletak di bangunan utama fakulti. Dia langsung tidak mempedulikan pandangan orang lain. Matlamatnya hanya satu, dia harus ke pejabat Encik Hakim agar pencapaiannya diberikan markah. Dia rela markah dipotong kerana lewat daripada terus mendapat markah kosong.
           
Isma melangkah dengan rakus sehingga dia tidak perasan tali kasutnya terbuka. Entah mana silapnya, Isma terpijak tali kasutnya sendiri. Tidak semena-mena, kek coklat yang berada di atas tapak tangannya terjatuh. Malang tidak berbau bila mana kek tersebut jatuh benar-benar di atas dada seseorang.
           
Isma menaikkan pandangannya menghadap insan di hadapan. Wajah bengis lelaki itu membuatkan Isma meneguk liurnya. Isma segera memakai cermin matanya semula. Mujurlah cermin matanya tergantung di lehernya jika tidak mahu teraba-raba dibuatnya.
           
Lelaki itu mengepal buku lima. Baju putih yang serba bersih dan suci itu dilihatnya dengan mata yang mencerlung. Kesan coklat yang mencalari kemeja itu membuatkan lelaki itu memandang Isma bagaikan mahu menelannya.
           
“Maaf,” pohon Isma. Isma segera mendekati lelaki itu lalu cuba menarik kek coklat yang melekat di dada lelaki itu. Namun, belum sempat Isma menghampiri lelaki itu, lelaki itu menolaknya sehingga jatuh terduduk.
           
“Hey, kau ni buta ke? Aku yang besar kat sini pun kau tak nampak? Kau tengok baju ni.” Lelaki itu menunjukkan bajunya yang kotor pada Isma.
           
“Maafkan saya tapi saya betul-betul tak nampak awak. Saya nak cepat.” Isma masih memohon maaf.
           
“Ada mata tapi letak kat lutut,” balas lelaki itu seraya mencampak kek coklat itu mencium lantai.
           
Mata Isma terbeliak melihat adegan itu. Tanpa disedari, Isma segera bangkit. “Eh, Mr. Kan saya dah minta maaf. Awak nak apa lagi?” Isma mula hilang sabar. “Nak maafkan orang pun susah ke?”
           
“Kau?” Lelaki itu terdiam seketika. Dia sama sekali tidak menyangka Isma akan membalas kata-katanya.
           
“Thanks to you, kek saya dah rosak.”
           
“Bukan salah aku kek kau rosak. Kau yang jalan tak tengok depan.” Lelaki itu masih dengan egonya.
           
“Eh, Mr. Kek tu still okay masa dia melekap dekat baju tu tapi awak yang baling dia ke tanah sampai dia rosak macam tu,” balas Isma yang tidak kurang egonya. Dia masih betah membalas kata-kata lelaki itu.
           
“Arghh..whatever.” Lelaki itu sudah malas mahu bertengkar. Dia masih ada tempat harus dituju. “Ketepilah.” Tubuh Isma yang berada di laluannya ditolak ke tepi.
           
Isma tertolak ke tepi. Dia mengetap gigi menahan marah. “Tengoklah kau. Jangan bagi aku jumpa kau lagi lepas ni. Kalau tak, siaplah kau.”
           
Isma segera mengambil kek coklat miliknya. Kek yang tidak serupa kek itu membuatkan hatinya disayat pilu. Dia benar-benar sedih melihat keknya jadi sebegitu. Sudahlah masa penilaian hampir tamat, dia pula tidak mempunyai produk untuk ditunjukkan pada Encik Hakim.
           
“Awak okay?”

Soalan dari seseorang membuatkan Isma segera menyeka air matanya.
           
Isma meneguk liurnya. Kehadiran insan itu membuatkan jantungnya berdegup makin kencang. Isma mengelipkan matanya berkali-kali. Dia bagaikan tidak percaya lelaki yang menjadi impiannya berada benar-benar di hadapannya.
           
“Awak okay?” Lelaki itu mengulang kembali soalannya.
           
“Okay.” Tergagap-gagap Isma menjawab. Haruman CK yang dipakai jejaka itu benar-benar menyesakkan jiwanya.
           
“Macam mana boleh jadi macam ni?” Lelaki itu menyoal Isma seraya membantu Isma membersihkan lantai yang dicemari coklat.
           
“Entahlah. Semuanya berlaku dengan cepat.” Isma terasa penat untuk memikirkan hal yang baru sahaja terjadi.
           
“I guess kek ni tak dapat diselamatkan lagi.” Lelaki itu membuat telahan. “Agak kejam orang yang buat awak jadi macam ni.”
           
“Nak buat macam mana? Dah nasib saya macam ni.” Isma merendah diri. “Terima kasih sebab tolong saya.”
            “Tak apa. Hal kecil aje. By the way, nama saya Firuz.” Lelaki itu menghulurkan salam perkenalan.
           
Isma tersenyum kecil. Sedari dulu lagi, nama jejaka itu sudah diketahui. ‘Akhirnya.’
           
“Saya pergi dulu. Saya dah lewat ni.” Firuz meminta izin untuk beredar.
           
Isma melompat kegembiraan. Dia sama sekali tidak menyangka bahawa akhirnya dia akan bersua dengan jejaka idamannya. Semenjak pertama kali menjejakkan kaki di kolej itu, dia mula menyimpan perasaan pada lelaki itu. Buat seketika dia terlupa tentang masalah yang akan dihadapinya kerana kek tersebut.


“JADI, awak nak kata awak berlanggar dengan seseorang sehingga kek ni jadi macam ni?” Encik Hakim meminta kepastian. Dia bagaikan sukar untuk mempercayai kata-kata Isma. “Oleh siapa?”
           
Isma menggigit bibir. Dia tidak tahu nama lelaki yang melanggarnya tadi. Itu kali pertama dia terserempak dengan jejaka itu. “Saya tak tahu,” ujar Isma seraya menundukkan pandangannya. Matanya tertumpu pada fail-fail yang berada di atas meja Encik Hakim.
           
“Jangan tipu saya. Saya cukup tak suka orang tipu saya. Entah-entah awak yang sengaja jatuhkan kek ni,” bentak Encik Hakim. Fail yang berada di tanganya dibaling ke atas meja. Alasan Isma langsung tidak dapat diterimanya. Mustahil, Isma tidak mengenali pelajar-pelajar di Fakulti Sains Makanan (FSM).
           
Isma tersentak  mendengar bunyi hentakan tersebut. Mujur saja dia tidak menghidapi penyakit jantung. Jika tidak, di situ juga ajalnya tiba.
           
“Tapi saya tak tipu Encik Hakim.” Isma masih bertegas dengan pendiriannya.
           
“Dah. Saya tak nak dengar alasan awak. Saya paling tak suka orang yang kuat beralasan.” Encik Hakim mengerutkan dahinya. Memang sedari dulu lagi, dia tidak gemar orang memberi alasan mahupun menjawab apa yang dikatakan.
           
“Tapi saya.”
           
“Kosong.”
           
“Kosong?”
           
“Markah awak, saya bagi kosong. Tak ada appeal. That is my final decision,” tegas Encik Hakim. Pandangannya kembali pada dokumen yang berada di hadapannya. 
           
“Tapi Encik Hakim.” Isma masih mahu cuba merayu.
           
“Kalau tak ada apa-apa lagi, awak boleh keluar sekarang.”
           
“Tapi.” Isma merasa terpukul mendengar arahan tersebut
           
Deringan telefon membuatkan pandangan Encik Hakim terkalih. Mendengarkan sahaja suara di sebelah sana talian, Encik Hakim menghayunkan tangannya ke arah Isma sebagai tanda keluar.
           
Isma mengetap bibirnya. Dia melangkah berat keluar dari pejabat Encik Hakim. Dia benar-benar berasa sebal hari tu. ‘Kenapa susah sangat nak faham? Bukannya aku sengaja nak jatuhkan kek tu.’
           
Isma melangkah perlahan menuju ke cafe. Pesanan ringkas yang baru diterima dari Zatie dan Hani yang mahu mereka berjumpa di Rimba Cafe yang terletak di FSM membuatkan dia terus sahaja ke situ.


“BETUL ke apa yang aku dengar?” Zatie terus sahaja menyoal sebaik sahaja dia tiba dengan dulangnya. Mereka sengaja memilih tempat yang agak tersembunyi di Rimba Cafe itu.

            “Apa yang kau dengar?” Isma langsung tidak ada mood untuk bergosip hari itu. Di fikirannya cuma terbayangkan kata-kata Encik Hakim. ‘Kosong? Macam mana aku nak survive atas paras bahaya untuk final?’

            “Pasal kau kena langgar dengan mamat mana entah and kek kau jatuh,” sampuk Hani. Dia mengambil tempat di sebelah Isma.

            “Mana korang tahu pasal tu?” Isma mengerutkan dahinya. Bukankah Zatie dan Hani tidak berada bersamanya sebentar tadi. “Takkanlah dah tersebar satu fakulti?”

            “JI (jejaka idaman) kau cerita tadi. Kitorang terserempak dengan dia masa nak ke sini.” Zatie merungkai persoalan Isma.

            “Macam mana kau jumpa Firuz? And plus, macam mana dia kenal kau orang?” Isma mengerutkan dahinya.

             “Entah.” Hani menjungkit bahu. “Encik Hakim cakap apa?” Hani lebih berminat untuk mengetahui perihal Encik Hakim.

            “Dia bagi aku kosong untuk tugasan ni,” ujar Isma lemah. Nasi goreng di dalam pinggannya dikuis-kuis.

            “Kosong? Gila ke? Penat-penat kau buat. Kau tak cerita ke apa yang berlaku sebenarnya?” Suara Zatie mulai tinggi.

            “Dah tapi dia kata tu semua alasan aku.”

            “Ni tak boleh jadi. Kalau kau dapat kosong untuk tugasan ni, macam mana kau nak survive tuk final? Kau tahukan final tu susah. Lainlah kalau kau boleh score.”

            “Kau tak cerita pun aku tahu, Zatie.” Isma menghirup teh aisnya. “Ni semua, mamat tu punya pasal. Siaplah dia kalau aku jumpa dia.”

            “Mamat mana?” Hani mengerutkan dahinya.

            “Entah. Tapi jangan sampai aku jumpa dia.” Mata Isma sudah berbara menahan marah. “Kalau aku jumpa dia, memang naya dia.”

            “Kau tak nak beritahu chef pasal ni?” Takut-takut Hani menyoal. Bukannya dia tidak tahu betapa garangnya bapa Isma sehingga gadis itu kerapkali kecut tatkala nama chef disebut.

            “Jangan. Aku tak nak sesiapa pun antara kauorang beritahu chef. Kalau terbongkar benda ni, korang aku cari,” ugut Isma. Sebolehnya, dia tidak mahu bapanya yang lebih dikenali sebagai Chef Ismail itu tahu mengenai perkara tersebut. Jika bapanya tahu, sudah pasti bapanya akan mendendanya.

            “Tapi lambat-laun, dia akan tahu juga kan?” telah Hani. Dia benar-benar khuatir jika Chef Ismail tahu mengenai perkara tersebut.

            “Memanglah tapi bukan dalam masa terdekat ni. Aku akan pastikan chef takkan tahu perkara ni.” Isma menyimpan tekad. Bapanya tidak harus tahu mengenai perkara tersebut. Pengalaman lalu sudah cukup membuatkan dia serik.
           

ISMA berhenti mengunyah nasi goreng yang dipesannya. Suara seseorang dari arah belakang membuatkan dia terdiam. Isma segera berpaling ke arah sebuah meja. Suara mereka berbual antara satu sama lain kedengaran kuat sehingga menganggu tumpuan orang lain.

            Isma mengerutkan dahinya saat terpandang salah seorang lelaki yang berada di meja itu. “Siapa lelaki tu?”

            “Yang mana?” Zatie menyoal Isma kembali. Matanya turut terarah pada sekumpulan lelaki yang sedang berbual itu.

            “Yang baju biru tu.”

            “Mmmm...entah. Tak pasti pula sebab rasa macam tak pernah tengok dia sebelum ni.” Zatie merenung jejaka itu sedalamnya. “But he’s quite handsome.” Sempat lagi Zatie memuji.

            “Entah-entah...” Hani membuat telahan. “Senior kot? Sebab nak kata coursemate macam tak.”

            “Senior atau tak? Itu aku tak peduli. Yang aku tahu, dia hutang aku markah kek aku.” Isma mengetap giginya.

            “Maksud kau, dia mamat yang langgar kau?” Zatie meminta kepastian.

            “Kau still nak minum tak tembikai kau tu?” Isma menyoal Zatie. Dari tadi, dilihatnya Zatie langsung tidak menyentuh jus miliknya.

            “Tak mahu lah aku. Ada semut dalam ni.” Zatie segera menolak jus tembikai itu menjauhi dirinya. “Kenapa?”

            “Aku nak.” Isma terus bangun lantas mencapai gelas jus tembikai tersebut. Tanpa memikirkan akibat akan tindakannya, dia terus sahaja menuju ke arah lelaki berbaju biru itu. Dengan tidak semena-menanya, jus tembikai itu dijirus ke arah lelaki itu.

            Lelaki itu terus bangun dari duduk. Dia benar-benar terperanjat diperlakukan sebegitu. Masuk kali itu, sudah dua kali dia terpaksa menukar bajunya. Mujur saja, temannya membawa baju lebih, dapat juga dia meminjamnya. “Kau!”

p/s: ni BMP versi baru..Hana baru je lepas siapkan Love Is dan sekrang ni dalam proses nak siapkan BMP pula..Hana dah try hantr LI kat publisher...harap2x diterima..doakan Hana ya..dan Hana harap kalian suka BMP versi baru ni..


Sunday, December 18, 2011

Quick Update

Assalamualaikum semua, 

Maaf sebab Hana tak sempat nak update LI seperti yang dijanjikan sebab Hana kena kejar masa untuk hantar draft thesis pada pensyarah..Hana dah siapkan dah next chapter untuk LI tapi tak sempat nak edit sbb ada part yang dirasakan tak bersesuaian dan harus dikeluarkan..sebab tu tak sempat nak post..kalau tak, Hana terus post aje..he~ maaf ya..khamis ni insyaALLAH..lega sikit kot..dan jika berkesempatan Khamis ni Hana upload...

oleh kerana Hana tak mahu blog ni bersawang..Hana sengaja post gambaran watak untuk BMP yang dah Hana rombak..cast dia pun Hana dah ubah sebab Hana rasa lebih sesuai kot..maaflah kalau ada yang tak minat gambaran watak yang Hana letak..sebab Hana tak ada idea nak letak siapa kecuali kumpulan kpop feveret Hana..he~